malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jamil enggan ulas, ulangi jawab di mahkamah
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom enggan mengulas berkaitan dakwaan dan pendedahan terbaru dakwaan salah guna dana Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapiem) selepas didesak pemberita hari ini.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan menjawab segala dakwaan yang dibangkitkan oleh Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir di mahkamah kelak.

"Saya akan jawab dalam mahkamah nanti... Saya tak nak nanti dia jadi bercampur (beri kenyataan bercanggah)," kata Jamil selepas majlis perasmian Persidangan Fiqh Zakat Antarabangsa di Kuala Lumpur hari ini.

MP Jerai mengulas soalan pemberita kewajaran yayasan itu memerlukan sumbangan pencarum sedangkan banyak duit dihasilkan dari Ar Rahnu.

Jamil turut mengulangi jawapan yang sama apabila diminta mengulas berhubung dakwaan terbaru mengenai Yapeim membelanjakan lebih RM100,000 untuk program kembara ke New York dan tindakan 3,000 pencarum menarik semula caruman mereka.

Sebelum ini pusat itu membuat pelbagai siri pendedahan berhubung dakwaan salah guna dana yayasan itu termasuk pembayaran elaun yang tinggi kepada pegawai pengurusan atasan sehingga menjadi tajuk utama berita sejak dua minggu lalu.

Minggu lalu Jamil Khir juga memfailkan tindakan undang-undang terhadapnya Akmal demi membersihkan namanya dan sebagai usaha menghentikan budaya memfitnah yang dilakukan sewenang-wenangnya.

Diminta mengulas laporan media yang memetik sumber mendakwa dua pegawai kanan Yapiem diarah bercuti ekoran pendedahan yang dibuat, Jamil berkata laporan tersebut tidak benar.

Portal The Malaysian Insider yang memetik sumber melaporkan sebagai berkata dua pegawai kanan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) diarah bercuti sementara siasatan terhadap yayasan itu dijalankan.

Sementara TV3 pula melaporkan kedua-dua pegawai tinggi itu sebagai Pengerusi Yapeim Datuk Abdul Malek Awang Kechil dan Timbalan Pengerusi Datuk Siti Zaleha Hussin.

"Saya kata tidak benar. Tak ada," kata Jamil yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno.

Menurut Jamil lagi, pihaknya telah menubuhkan satu jawatankuasa Khas bagi menyelesaikan isu Yapiem.

"Kita telah menubuhkan satu 'task force' untuk melihat kepada tadbir urus yang bagus kepada Yapiem ini," kata Jamil.

Lihat Komen