malaysiakini logo
story-image
ADS

Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir tidak akan minta maaf kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

“Daripada bukti yang dikemukakan dan kenyataan beliau semalam, beliau yang gunakan wang tersebut, bukan saya. Jadi kenapa saya yang perlu minta maaf?

“Saya rasa persoalan itu (meminta maaf) tidak timbul untuk saya. Saya tidak minta maaflah. Saya nak minta maaf untuk apa?” katanya di sidang media di pejabat NOW di Sungai Besi hari ini.

Semalam Jamil Khir memberi tempoh selama 24 jam kepada Akmal untuk meminta maaf atau berdepan dengan tindakan undang-undang kerana mengaitkan beliau dengan dakwaan salah guna wang yayasan kebajikan.

Saman hak Jamil

Sebelumnya Akmal mendakwa ada menteri menyalahgunakan duit untuk anak yatim dan miskin bagi membiayai perjalanan ke luar negara bersama isteri, main golf dan lawatan ke pusat membeli belah.

Kata Akmal lagi, Jamil sendiri tidak menafikan bukti dan dokumen yang dikemukakan sebelum ini, malah mengesahkan bahawa beliau sememangnya ke AS.

“Malangnya, beliau (Jamil) tidak menafikan kebenaran bukti atau dokumen yang saya kemukakan sebelum ini dan beliau tidak menjawab persoalan pokok, iaitu sama ada wang Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin digunakann untuk lawatan beliau ke AS,” katanya.

Akmal juga berkata, Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berhak untuk menyamannya selepas tempoh 24 yang diberikan berakhir.

“(Saman) itu hak beliau. Saya dedahkan untuk membela pencarum-pencarum Yapeim (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia). Mereka mencarum mungkin RM5, RM10 sebulan,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Akmal mendakwa lawatan Jamil ke AS bagi menghadiri Simposium Perkahwinan dan Kekeluargaan itu hanya melibatkan majlis penutupan.

Bagaimanapun Akmal mendakwa kos yang digunakan Jamil bersama isterinya menggunakan wang Yapeim turut membiayai aktiviti bermain golf dan lawatan ke pusat membeli-belah sebanyak empat hari.

Akmal juga menambah, kos penganjuran program yang diluluskan Yapeim adalah RM590,000 iaitu lebih tinggi daripada anggaran awal didedahkan sebelum ini, RM410,978.56 bagi penglibatan 100 orang.

Lihat Komen