malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mufti: Kariah masjid, surau boleh guna budi bicara
Diterbitkan:  Oct 4, 2015 11:00 AM
Dikemaskini: 3:10 AM
ADS

Jawatankuasa kariah masjid dan surau di negeri ini boleh menggunakan budi bicara dalam melaksanakan larangan penggunaan pembesar suara luar masjid dan surau bagi aktiviti selain untuk azan dan iqamah, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Wan Salim Mohd Noor.

Beliau berkata sekiranya larangan itu diwartakan pada masa depan, pengurusan masjid boleh mempertimbangkan penggunaan pembesar suara itu mengikut kesesuaian masa dan keadaan.

"Keputusan fatwa mengecualikan azan dan iqamah daripada larangan menggunakan pembesar suara luar masjid. Tetapi diharap jawatankuasa dan pegawai-pegawai masjid dapat gunakan budi bicara apa yang patut mereka lakukan bagi melaksanakan maksud larangan tersebut dalam konteksnya yang sebenar.

"Golongan literalis hanya nampak huruf undang-undang, mereka ikut sepenuhnya apa yang ditulis dalam undang-undang. Tapi orang cerdik dapat melihat makna yang terkandung di balik apa yang tertulis," katanya dalam kenyataan di Georgetown semalam.

Larangan penggunaan pembesar suara itu dinyatakan melalui surat Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 Sept lepas berhubung keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 dan 2 Julai dan disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 23 dan 24 Ogos lepas.

Surat yang memetik cabutan minit Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang itu menyebut bahawa mesyuarat bersetuju agar Irsyad hukum yang diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri bertarikh 7 April 2011 mengenai larangan membaca Al-Quran sebelum Subuh dengan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau perlu ditambah baik dengan memasukkan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau bagi semua program seperti qiamulail, tahajud, kuliah, mesyuarat dan seumpamanya.

Wan Salim berkata fatwa larangan penggunaan pembesar suara luar masjid dan surau harus dilihat kepada kesan dan matlamat yang ingin dicapai untuk kepentingan individu dan masyarakat sepertimana dikehendaki oleh syarak.

"Inilah yang dinamakan 'maqasid syariah' yang sering dibincangkan dalam forum-forum dan seminar di dunia Islam zaman kini," katanya.

-Bernama

Lihat Komen