malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Hutang 1MDB tampung hutang 1.7 juta peminjam PTPTN'
Diterbitkan:  Sep 30, 2015 12:10 PM
Dikemaskini: 10:46 AM
ADS

Pendidikan percuma dan pemansuhan pinjaman Pendidian Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh dilaksanakan sekiranya sumber kewangan negara tidak dialihkan kepada firma pelaburan 1MDB, kata PKR.

Menganggarkan sebanyak RM50 bilion hutang semasa firma itu yang mungkin ditanggung kerajaan, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata jumlah itu "lebih daripada cukup" untuk melaksanakan dasar pendidikan percuma dan memansuhkan hutang pinjaman itu.

Rafizi berkata jumlah itu boleh membayar hutang tertunggak seramai 1,716,475 peminjam PTPTN sebanyak RM13.3 bilion.

Menurutnya lagi, ia juga boleh memansuhkan terus hutang PTPTN berjumlah RM2 bilion setiap tahun - jumlah yang hampir sama untuk perbelanjaan tahunan kewangan 1MDB.

"Jumlah RM13.3 bilion hanyalah sebahagian kecil dari sumber kewangan berjumlah RM50 bilion yang telah dialihkan kepada 1MDB," kata Rafizi yang juga setiausaha agung PKR dalam kenyataanya.

"Belanja kewangan 1MDB yang mencecah RM5.8 bilion dalam tempoh 3 tahun (seperti dilaporkan oleh 1MDB dalam jawapannya mengenai ke mana wang telah dibelanjakan) adalah hampir kepada jumlah RM2 bilion setiap tahun; iaitu jumlah yang diperlukan untuk memansuhkan terus hutang PTPTN," katanya lagi.

Rafizi berkata berdasarkan perkiraannya, dasar pendidikan percuma dan pemansuhan hutang PTPTN dapat dilaksanakan dengan peruntukan RM6 bilion setahun.

Sehubungan itu, beliau berkata skandal 1MDB yang terbongkar setakat ini memberi gambaran jelas bahawa kerajaan sebenarnya mampu melaksanakan dasar pendidikan percuma dan memansuhkan hutang PTPTN.

Katanya, dasar itu boleh dilakukan jika kekayaan negara disalurkan bagi membina sistem pendidikan yang terbaik, bukannya dibazirkan dalam projek yang berakhir menjadi skandal seperti 1MDB.

Rafizi mengulas laporan dialog Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan pelajar Malaysia di Amerika Syarikat semalam bahawa dasar tersebut dapat dilakukan sekiranya rakyat sanggup membayar cukai pendapatan yang lebih tinggi.

Beliau juga yakin jika tanah kerajaan di Jalan Tun Razak dan Sungai Besi yang dianugerahkan kepada 1MDB diserahkan kepada satu tabung pendidikan untuk dimajukan, maka hasil pelaburannya dapat membangunkan jutaan rakyat sebagai modal insan pada masa depan.

"Saya berharap rakyat semakin membuka mata dan menyedari bahawa dasar pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN dapat dilaksanakan tanpa menaikkan cukai seperti yang diwar-warkan oleh Datuk Seri Najib Razak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen