malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Fitch: Isu 1MDB jejas sentimen pelabur tempatan
Diterbitkan:  Sep 22, 2015 11:24 AM
Dikemaskini: 3:26 AM
ADS

Isu yang menyelubungi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menjejaskan sentimen pelabur tempatan tetapi bukan pelabur asing, kata Pengarah Urusan/Ketua Global Penarafan Kerajaan dan Supranasional Fitch Ratings James McCormack.

"Jelas sekali isu itu (1MDB) penting di sini, tetapi saya rasa di luar negara, ia (1MDB) bukanlah isu yang hangat seperti di sini," katanya pada forum Perkembangan Terkini Ekonomi Malaysia 2015, di ibu negara, semalam.

Daripada perspektif Fitch Ratings bagi isu 1MDB, McCormack berkata jelas terdapat kebimbangan berkaitan dengan tadbir urus di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau juga menyuarakan kebimbangan akan transformasi ekonomi China sekarang yang bergerak daripada ekonomi berorientasikan eksport didorong pelaburan kepada ekonomi diterajui penggunaan, dan ekonomi berorientasikan perkhidmatan kepada ekonomi permintaan domestik, yang boleh memberi kesan kepada Malaysia.

"Asia secara umumnya mendapat manfaat besar daripada model ekonomi China sebelum ini. Sekiranya China berjaya dalam pembaharuannya, ia akan menjadi pertumbuhan ekonomi yang berbeza (di China) bukan seperti sebelumnya yang boleh dimanfaatkan dengan segera oleh banyak negara di Asia.

"Asia Timur laut akan mendapat lebih banyak manfaat kerana model ekonomi semasa mereka boleh digerakkan ke arah ekonomi penggunaan China, yang mendapat faedah daripada model pertumbuhan baharu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi mula menunjukkan kesan positif kepada Malaysia yang menyebabkan agensi itu mengubah prospeknya bagi negara daripada 'negatif' kepada 'stabil' awal tahun ini.

Pada Julai tahun ini, Fitch Ratings mengekalkan penarafan mungkir penerbit mata wang asing jangka panjang Malaysia pada A- dan mata wang tempatan pada A, dengan prospek disemak semula kepada stabil daripada negatif sebelumnya, manakala Standard and Poor's Rating Services mengekalkan penarafan A- dengan prospek stabil.

Forum setengah hari itu juga dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

-Bernama

Lihat Komen