malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Catuan air: SPAN belum terima permohonan SYABAS
Diterbitkan:  Sep 21, 2015 3:43 PM
Dikemaskini: 7:45 AM
ADS

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) masih belum menerima permohonan daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ataupun kerajaan Selangor untuk melaksanakan catuan air.

Pengerusi SPAN Datuk Ismail Kasim dalam satu kenyataan hari ini berkata sebarang keputusan untuk melaksanakan catuan air akan dibuat oleh SPAN apabila mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri Selangor setelah berbincang dengan semua operator air termasuk SYABAS.

Kenyataan itu susulan kenyataan SYABAS minggu lepas bahawa ia sedia melaksanakan catuan air di beberapa kawasan di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur berikutan cuaca panas dan kering, serta rizab air terawat yang semakin merosot.

Ismail berkata rizab margin air terawat pada masa ini adalah rendah iaitu antara satu hingga tiga peratus bergantung kepada kawasan, masa dan keadaan.

Katanya, beberapa projek mitigasi serta pembinaan Projek Loji Rawatan Air (LRA) serta Sistem Agihan Langat 2 (SAL2) telah dilaksanakan untuk meningkatkan kapasiti bekalan air di kawasan-kawasan itu.

"SPAN ingin memohon kerjasama daripada semua pihak supaya LRA dan SAL2 dapat dilaksanakan dengan licin dan disiapkan dengan seberapa segera.

"Penyiapan LRA dan SAL2 adalah merupakan langkah penyelesaian untuk memenuhi permintaan bekalan di negeri Selangor serta Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi jangka masa panjang," kata beliau.

Dalam pada itu, Ismail berkata bekalan air berjadual di daerah Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor akan diteruskan sehingga 15 Oktober ini akibat penyusutan paras air di dua empangan iaitu Empangan Sg Lebam dan Empangan Sg Layang.

Bagaimanapun bekalan air berjadual itu akan diberhentikan sementara waktu dari 23 hingga 25 September bersempena sambutan Aidiladha.

"Bekalan air berjadual akan diteruskan selepas tempoh tersebut seperti jadual sebelumnya,".

Katanya, SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJH) telah menyediakan 25 buah lori tangki dan 171 buah tangki statik untuk memberikan bantuan bekalan air kepada pengguna terlibat di dua buah daerah itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen