malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jamal diminta bertemu penganjur baju hijau
ADS

Datuk Jamal Md Yunos, orang kuat di sebalik himpunan baju merah, diminta bertemu jawatankuasa Himpunan 60,000 (H60K), bagi membincangkan penyertaan mereka ke program PAS itu pada bulan depan.

"Kita mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk bersama dalam sebarang agenda nasional untuk menuntut ketelusan pentadbiran negara dan bukan dengan tujuan mendiamkan diri atas penyelewengan negara.

"(Penganjur himpunan) Baju merah boleh berhubung dengan jawatankuasa himpunan untuk perbincangan lanjut," kata anggota Jawatankuasa Himpunan 60,000 (H60K) Datuk Khairuddin Aman Razali.

Beliau yang juga anggota Parlimen Kuala Nerus itu menjelaskan perkara itu kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas hasrat baju merah menyertai himpunan mereka pada 17 Oktober depan.

Jamal dilapor bercadang menyertai H60K, yang termakan baju hijau, jika objektif himpunan itu ke arah menyatupadukan orang Melayu.

PAS melalui timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata menerima sesiapa sahaja untuk hadir jika menyokong dasar dan perjuangan mereka.

Beliau bagaimanapun menegaskan kepada Malaysiakini , parti Islam itu menentang golongan rasis dan menyokong pembinaan kerukunan dan keharmonian bernegara.

PAS pada 15 September lalu, sehari sebelum himpunan baju merah pada Hari Malaysia, mengumumkan H60K untuk menguatkan kembali sokongan akar umbinya.

Himpunan itu dianjurkan selepas mereka diheret pelbagai konflik dalaman baik dengan rakan pembangkang mahu pun bekas kepimpinan kanan parti itu sendiri.

Perhimpunan itu akan berlangsung di Stadium Sultan Muhamad ke IV, Kota Bharu.

Ia dilihat penting bagi menjana kembali kekuatan mereka di Kelantan bagi berdepan pilihan raya umum akan datang.

Lebih-lebih lagi, PAS kini berdepan situasi berbeza apabila akan berdepan pencabar dalam keadaan ketiadaan ikon legenda mereka Datuk Nik Aziz Nik Mat dan kemungkinan perebutan anggota dengan parti serpihan, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Lihat Komen