malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahasiswa mahu pendidikan percuma dalam bajet 2016
ADS

Mahasiswa mencadangkan kepada kerajaan untuk memasukkan pelan pendidikan percuma dalam pembentangan bajet di Parlimen 23 Oktober ini.

Malaysiakini berjumpa dengan beberapa mahasiswa di pusat pengajian awam serta swasta, dan rata-rata mereka mengadu masalah yang sama iaitu bebanan yuran pengajian yang tinggi dan mahukan pendidikan percuma.

Mahasiswa jurusan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Atifah Muhammad berpendapat pendidikan percuma wajar diberikan kepada mahasiswa bagi mengurangkan bebanan yang dihadapi.

Ia kerana terpaksa membelanjakan hampir RM1,500 satu semester bagi membayar yuran pengajian dan juga kolej kediaman.

Bagaimanapun sekiranya kerajaan tidak boleh berbuat demikian, mereka haruslah diberi baucar sebanyak RM500 khusus untuk membayar yuran pengajian bagi meringankan beban mahasiswa.

“Mahu pendidikan percuma atau kalau tidak boleh, saya cadangkan kepada kerajaan bagi baucar yuran sebanyak RM500. Semua pelajar dapat jimatkan duit kalau dapat baucar untuk bayar yuran,”kata mahasiswa tahun akhir itu kepada Malaysiakini.

Manakala mahasiswa Fakulti Pengajian Media Universiti Malaya (UM) Nithiya Devi Keresnan Murty berpendapat selain memberikan pendidikan percuma, kerajaan diharap dapat memberikan dana tambahan bagi membayar yuran pengajian.

Malah beliau mahu baucer buku satu Malaysia digantikan dengan wang tunai kerana menurutnya buku rujukan boleh dipinjam dari perpustakaan.

“Kos pendidikan tahun ini tinggi daripada tahun lepas, kurangkan yuran pengajian. Kita mahu baucar buku digantikan dengan wang tunai,” kata mahasiswa berusia 21 tahun itu.

Mahasiswa Sains Aktuarial UM, Nurul Nadia Nabila M Arshad pula mengharapkan kerajaan dapat menyediakan dana bagi membina kolej tambahan kerana menurutnya kemudahan itu tidak mencukupi dan ada antara kawannya yang terpaksa menyewa rumah dan itu melibatkan kos yang tinggi.

Selain itu, mahasiswa ijazah seni Universiti Monash Nadiah Khairil Anwar pula berharap permohonan biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi mahasiswa swasta dipermudahkan tanpa memilih kasih.

“Kita mahu biasiswa terbuka kepada semua mahasiswa termasuk swasta. Kini kalau mahasiswa itu ada ‘orang dalam’ mereka lebih senang untuk dapat, yang mana tidak adil bagi kami,” kata mahasiswa berusia 21 tahun itu.

Sementara itu, mahasiswa tahun akhir Fakulti Kejuruteraan UIAM, Muhammad Che Abdullah pula berpendapat bahawa pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seharusnya dimansuhkan dan digantikan dengan pendidikan percuma.

Atau mahasiswa diberi potongan bayaran balik sebanyak 50 peratus dan menganjakkan masa bayaran sekurang-kurangnya dua tahun selepas tamat pengajian.

“Cadangan untuk menganjak masa bayaran balik PTPTN kepada dua tahun adalah kerana sekarang ini susah juga nak cari kerja,” kata mahasiswa yang berusia 24 tahun itu.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memberikan pengiktirafan kepada mahasiswa yang berjaya mendapat gred 3.5 ke atas untuk berkhidmat dengan kerajaan tanpa perlu membayar pinjaman PTPTN.

Manakala bagi mahasiswa yang mendapatkan keputusan kurang daripada itu pula diberi potongan untuk membayar separuh daripada pinjaman mereka.

Isnin lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengajak rakyat untuk bersama-sama memberikan cadangan mengenai bajet sebelum 15 September ini untuk dimasukkan dalam Bajet 2016 yang akan dibentang di Parlimen, 23 Oktober ini.

Najib yang juga menteri kewangan, berkata cadangan tersebut boleh dikemukakan kepadanya menerusi laman webnya.

Lihat Komen