malaysiakini logo
story-image
ADS

Kerjaya pembantu rumah yang tidak diminati oleh warga tempatan menjadikan Malaysia terpaksa bergantung kepada rakyat negara lain dalam memenuhi keperluan sumber manusia.

Sehingga kini dianggarkan terdapat kira-kira 150,000 pembantu rumah yang berdaftar secara sah di negara ini, yang mana rata-rata dimonopoli oleh rakyat Indonesia, selain rakyat dari negara lain.

Namun, isu amah ini bagaikan tidak berpenghujung. Antaranya, tuntutan gaji yang membebankan, malah tidak setanding kualiti dan mutu yang ditawarkan.

Penghantaran bakal dihentikan?

Beberapa isu timbul melibatkan hal pembantu rumah sehingga negara sumber campur tangan mendesak isu-isu berkenaan gaji dan kebajikan tenaga kerja mereka diperbaiki.

Kerajaan Indonesia pada Mei lepas menggesa Malaysia menaikkan gaji pekerja domestiknya daripada RM800 kepada RM1,200 sebulan, yang jelas membebankan majikan di negara ini.

Sebelum itu pada Februari, Presiden negara itu Joko Widodo mahu wanita di republik itu berhenti bekerja sebagai pembantu rumah di negara luar dan meminta Menteri Tenaganya untuk merangka formula bagi memastikan penghantaran ke luar negara dihentikan.

"Amalan menghantar wanita Indonesia untuk bekerja sebagai pembantu rumah perlu dihentikan. Kita mesti mempunyai maruah dan harga diri," Joko dipetik berkata oleh agensi berita Antara .

Kerajaan Filipina turut berhasrat untuk menghentikan penghantaran pembantu rumah secara berperingkat kerana persekitaran kerja yang mencabar di luar negara, dan menghentikan terus amalan itu pada 2017.

Persoalannya, sekiranya penghantaran pembantu rumah dari kedua-dua negara bekalan utama itu dihentikan, adakah Malaysia akan berdepan dengan masalah bekalan amah?

Tumpu negara lain

Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata Malaysia tidak seharusnya bergantung 100 peratus dengan satu sumber pembekalan pembantu rumah sahaja kerana banyak lagi tenaga kerja yang bermutu dari negara lain.

Beliau berkata kerajaan boleh membawa masuk bekalan amah dari negara-negara lain seperti Bangladesh, Nepal, Sri Lanka, Timor Leste, Kemboja, Thailand dan Myanmar.

"Kepelbagaian bekalan dan sumber pembantu rumah bukan sahaja akan mengisi kekurangan bekalan itu, malah dapat memberi kepelbagaian pilihan kepada bakal majikan dan dengan sendirinya memulihkan industri pembantu rumah.

"Apapun kami sentiasa menekan kualiti perkhidmatan yang tinggi dan kos yang berpatutan dengan gaji bulanan tidak melebihi gaji minimum negara," katanya kepada Bernama .

Engku Ahmad Fauzi berkata adalah penting semua bakal pembantu rumah dari negara luar menjalani latihan di Malaysia, bukan di negara asal mereka.

Katanya ini bagi menjamin mutu dan keserasian mereka dengan budaya, peralatan, peraturan, hak serta tanggungjawab mereka sewaktu berkhidmat di negara ini.

"Mutu latihan di negara asal biasanya jauh daripada pemantauan kita dan menimbulkan pelbagai persoalan... dan selalunya hasilnya serta penyesuaian pekerja itu tidak menepati dengan apa yang diharapkan," katanya.

Belajar bahasa

Namun, bukankah nanti akan timbul masalah komunikasi kerana kebanyakan sumber dari negara lain tidak boleh atau fasih berbahasa Melayu ataupun Inggeris?

Beliau berkata masalah itu dapat diatasi kerana Bahasa Malaysia amat mudah dipelajari dan pembantu rumah hanya perlu belajar yang asas sahaja sesuai dengan tugasan mereka buat permulaan.

"Sebab itu kami sarankan latihan dijalankan di Malaysia bukan di negara mereka, di mana latihan itu perlu mencakupi pembelajaran Bahasa Malaysia," katanya.

Selain jurulatih warga tempatan, beliau berkata rakyat negara berkenaan yang fasih berbahasa Malaysia, misalnya Bangladesh, juga boleh diambil sebagai jurulatih bagi membantu mengajar warga masing-masing menguasai bahasa itu.

"Lagi pun proses kemasukan mereka ke Malaysia sebagai pelatih jurusan pembantu rumah lebih cepat dan mudah berbanding kemasukan sebagai pembantu rumah terus.

"Seterusnya majikan Malaysia hanya berurusan terus dengan pusat latihan di Malaysia untuk mengambil pembantu rumah yang terlatih dengan kerjasama agensi untuk proses permit kerja," katanya.

Katanya dalam masa yang sama, kerajaan juga boleh membuat promosi dan mengiktiraf kerjaya pembantu rumah sebagai kerjaya profesional serta mewujudkan kursus khas di universiti atau pusat kemahiran bagi menggalak penyertaan warga tempatan.

Adakan perbincangan

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA) Jeffrey Foo meminta kerajaan mempertimbangkan Bangladesh sebagai negara sumber baru untuk pembantu rumah bagi menggantikan penurunan bilangan amah dari Filipina dan juga Indonesia.

Katanya hasrat kerajaan membawa masuk seramai 1.5 juta tenaga kerja dari Bangladesh secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor, juga boleh disalurkan sebagai pembantu rumah.

"Majikan di negara ini sangat bosan dengan kekurangan dan kualiti pembantu rumah Indonesia dan pihak kami menerima banyak aduan terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengenakan bayaran yang cukup tinggi untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah," katanya.

Justeru, beliau meminta kerajaan mengadakan perbincangan dengan negara-negara sumber baharu supaya tidak terlalu bergantung kepada bekalan pembantu rumah dari Indonesia.

"Negara-negara seperti Kemboja, Bangladesh dan Nepal dipercayai tidak ada masalah untuk menyalurkan pembantu rumah rakyat mereka kepada majikan Malaysia," katanya.

- Bernama

Lihat Komen