malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Thai serah 'dalang' seludup manusia
Diterbitkan:  Jun 15, 2015 6:40 PM
Dikemaskini: 10:44 AM
ADS

Pihak berkuasa Thailand telah menyerahkan kepada Malaysia beberapa dalang sindiket atau 'Kingpin' penyeludupan manusia, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mengumpul maklumat terperinci berhubung kes penyeludupan manusia selain menjalankan soal siasat ke atas dalang berkenaan sebelum sebarang pendakwaan dilakukan.

"Terima kasih kepada pihak Thailand yang memberikan bantuan kepada pihak berkuasa Malaysia untuk masuk ke kawasan mereka mencari pihak yang terlibat sebagai dalang atau 'kingpin' dalam penyeludupan manusia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Perancis di Malaysia Cristophe Penot di pejabat Menteri Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata polis berjaya mengenal pasti 'Yassin' yang dipercayai sebagai ejen kes pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis.

Namun, katanya, individu berkenaan telah melarikan ke Thailand dan PDRM akan mendapatkan kerjasama pihak berkuasa negara itu untuk membawa 'Yassin' ke Malaysia bagi tujuan pendakwaan.

Pada akhir Mei, negara digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis.

- Bernama

Lihat Komen