malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Biar Majlis Peguam, Shafee debat kes Liwat II'
ADS

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, individu yang sepatutnya berdebat berhubung kes Liwat II ialah peguam kanan Tan Sri Shafee Abdullah dan presiden Majlis Peguam.

Katanya, ia akan memberi peluang kepada presiden Majlis Peguam Christopher Leong untuk menjelaskan lagi mengenai “kenyataan yang tidak munasabah” dalam kes tersebut.

Shabery berkata, beliau sedia menganjurkan debat antara Shafee dan Christopher sekiranya presiden Majlis Peguam itu bersetuju.

"Saya nak dengar. Tolong tanyakan pada Majlis Peguam selepas ini. Kalau mereka menyahut seruan ini, pada bila-bila masa kita boleh anjurkan.

"Kita boleh fikirkan apakah kaedah yang baik, di mana tempatnya, berapa lama, apakah peraturannya dan sebagainya," katanya kepada pemberita.

Beliau ditanya mengenai kesediaan kementeriannya untuk menganjurkan debat berhubung kes Liwat II di antara naib presiden PKR, Rafizi Ramli dan ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata demikian selepas sidang media orkestra RTM@Java Jazz Festival di Angkasapuri, hari ini.

Sebelum ini Rafizi mencabar Khairy kerana tidak berpuas hati ekoran siri jelajah ketua pendakwaan kes itu. Peguam PAS Hanifa Maidin turut menyuarakan kesediaanya berdebat dengan Shafee berhubung kes itu.

Tunjukkan hujah

Ahmad Shabery berkata sebagai presiden Majlis Peguam, Christopher sepatutnya menyanjung dan mempertahankan sistem kehakiman yang sedia ada di negara ini, bukannya mengeluarkan kenyataan yang bertentangan mengenainya.

Sehubungan itu, Shabery berkata pengamal undang-undang itu perlu mengemukakan hujah pada platform yang akan disediakannya.

"Sekiranya dia (Christopher) masih bertegas menyatakan (kes liwat) ini adalah konspirasi politik dan sebagainya, dia mesti menunjukkan hujahnya.

"Sebab itu kita kata, kami bersedia untuk anjurkan perdebatan antara Shafee yang mengetahui kes ini dengan mendalam.

"Ini bukan soal nak menentukan Anwar bersalah atau tak, kerana itu sudah diputuskan. Tetapi dalam aspek soal pentadbiran kehakiman, ia perlu dijawab terutamanya  oleh Majlis Peguam tentang bagaimana kes ini telah ditadbirkan (dijalankan)," katanya.

Leong sebelum ini mengatakan, wujud beberapa perkara janggal dalam tuduhan Liwat II yang membangkitkan persepsi bahawa Anwar dianiaya.

Malah, Leong berkata, terdapat undang-undang yang jarang digunakan untuk membuat pendakwaan di mana Anwar didakwa dan disabitkan dua kali di atas satu kesalahan di mana tuduhan itu mengandungi elemen paksaan.

Lihat Komen