malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu rambut Rosmah jadi sindiran Rafizi
Diterbitkan:  Feb 26, 2015 1:52 PM
Dikemaskini: 6:05 AM
ADS

PKR terus menempelak Datin Seri Rosmah Mansor susulan rungutan isteri perdana menteri berhubung harga tinggi dandanan rambutnya.

Selepas dua pemimpin kanannya mengkritik Rosmah, hari ini setiausaha agung PKR pula menyindir isteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan mempermain-mainkan logo kempen penurunan harga.

Rafizi Ramli, juga naib presiden PKR, mengedarkan imej rambut dengan perkataan "turun harga dandan rambut" di akaun Twitternya hari ini.

Selain imej tersebut, beliau menulis tweet: "Saya sokong #turunhargadandanrambut bantu DS Rosmah jimat dandan rambut. (Kalau) tidak pun, dia patut tutup aurat, lagi senang."

Saya sokong #turunhargadandanrambut bantu DS Rosmah jimat dandan rambut ;-). Takpun dia patut tutup aurat lg senang pic.twitter.com/3R105KqCmY

— Rafizi Ramli (@rafiziramli) February 26, 2015

Dihubungi Malaysiakini selepas itu, Rafizi berkata beliau "berjenaka melalui grafik" untuk mengkritik Rosmah.

Ahli parlimen itu juga mendakwa Rosmah tidak memahami kesengsaraan orang ramai sewaktu mengeluarkan kenyataan bahawa khidmat dandanan rambutnya yang dibuat di rumah meningkat kepada RM1,200.

"(Kenyataan) ini menunjukkan Rosmah tidak faham kesusahan rakyat. Ia menunjukkan keluarga perdana menteri hidup terlalu mewah, maka tidak lagi tersentuh dengan (keperitan) orang ramai," kata Rafizi.

Ditanya sama ada imej kempen rambut Rosmah ini berkaitan dengan perhimpunan pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Mac, Rafizi berkata ia tidak kena-mengena dengan demonstrasi #KamiLawan.

"Tetapi kalau ada orang mahu mempromosika logo ini semasa perhimpunan tersebut, terpulanglah kepada mereka.

"Sejak 2012, kita membuat pelbagai kempen harga seperti kempen turunkan harga kereta dan minyak.

"Jadi, kalau Rosmah mengadu dandanan rambutnya mahal, mungkin kita boleh menolongnya membuat kempen turunkan harga dandanan rambut," tambahnya.

Semalam naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar mempertikaikan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, yang dilaporkan akan memberikan perhatian isu kenaikan harga dandanan seperti rungutan Rosmah.

Sementara ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin pula menggesa rakyat berdoa agar Rosmah tidak berbelanja boros .

Lihat Komen