Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilapor menghentikan sebentar majlis yang dihadirinya malam ini untuk bersama para hadirin mensedekahkan bacaan al-Fatihah untuk allahyarham Nik Aziz Nik Mat.
“Innalillahiwainnailaihirajiun. Saya sedih mendengar Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah pulang ke rahmatullah. Al-Fatihah,” tulisnya di Twitter.
Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengucapkan takziah kepada Nik Aziz melalui laman twitternya.
Berikut pelbagai reaksi lain atas pemergian pemimpin penting PAS itu:
Lim Kit Siang
Penasihat DAP
“Pemergian Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat kehilangan besar kepada negara. Takziah kepada anggota keluarga. Al-Fatihah.
Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail
Presiden PKR
"Bagi pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga, saya menyampaikan salam takziah dan kesedihan kami kepada Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, di atas kembalinya Dato Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat ke rahmatullah sebentar tadi.
"Bagi pihak PKR, saya ucapkan takziah kepada PAS di atas kehilangan Tuan Guru Mursyidul Am."
Datuk S Ambiga
Aktivis
“Saya amat menghormati Tok Guru. Beliau seorang pejuang yang gigih.”
Datuk Husam Musa
Naib presiden PAS
Istirehatlah dari perjuangan hidup yang melelahkan ini. Aku meredai pemergianmu. Insya-Allah kita akan bertemu dalam lindungan keampunan dan keredaan Ilahi yang kita sama buru.
Syed Husin Ali
Senator
“Innalillahiwainnailaihirajiun. Alfatihah. Sedih baca kenyataan PAS (Mahfuz) Nik Aziz kembali ke rahmatullah jam 9.45 malam ini. Semoga Allah rahmati.”
Datuk Seri Shabery Cheek
Menteri
“Pemergian Tuan Guru Nik Abd Aziz adalah kehilangan besar utk negara. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh allayarham. Al-fatihah! ”
Gobind Singh Deo
Anggota parlimen Puchong
“Amat sedih terima berita pemergian TG Nik Aziz. Takziah. Jasa baik TG kepada ayah saya Karpal Singh sentiasa dikenang."
Barisan Nasional (Twitter)
“Salam takziah kepada keluarga bekas MB Kelantan Datuk Hj Nik Aziz Nik Mat yang kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah.”
Liew Chin Tong
AJK pusat DAP
"Pakatan juga ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana menyelamatkan Pakatan pada 2008.
"Terdapat elemen di dalam PAS yang tidak mahukan kerajaan perpaduan antara BN dan PAS dan Nik Aziz lah individu yang meminta supaya ia tidak terjadi dan itu juga yang menyebabkan Pakatan terus bertahan sehingga sekarang."
Datuk Mujahid Yusuf Rawa
AJK pusat PAS
"Saya yakin peninggalan ini akan beri semangat untuk kita teruskan dan perjuangkan.
"Secara keseluruhannya, ini adalah bulan menyedihkan buat Pakatan Rakyat. Mereka adalah pemimpin besar. Anwar dipenjara dan dua hari kemudian, Nik Aziz meninggalkan kita."