malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN "Heroes come and go but our passion is forever." Sebenarnya Pahang tidak perlukan hero.

Dalam bola sepak, pasukan Pahang bukan seperti JDT, Selangor dan lain-lain pasukan yang memerlukan hero untuk menjadi pasukan yang baik.

Untuk memiliki sebanyak mungkin hero, mereka sanggup mengeluarkan belanja yang besar.

Pahang adalah Pahang. Sebuah pasukan yang benar-benar bermain bola sepak dengan setiap pemain memiliki satu passion (keghairahan), iaitu bermain bola dengan bagus dan menjadi juara.

Kalau diimbas kembali perjalanannya, Pahang pada mulanya terperosok di Liga Perdana. Tetapi adakah kita menggunakan hero untuk bangkit memenangi Piala Malaysia dua kali berturut-turut?

Adakah pemain pertahanan Shahrizan Salleh asyik berfikir untuk menghantar bola kepada pemain penyerang import Dickson Nwakaeme kerana tidak yakin kebolehan pemain lain?

Pahang bermain sebagai Pahang. Pahang membuat hantaran demi hantaran, mencipta gerakan, sama-sama menyerang, merampas bola, sama sama turun bertahan dan akhirnya keluar padang sebagai juara.

Apa yang Pahang ada untuk dua kejuaraan itu adalah sekumpulan pemain bola sepak biasa-biasa yang bermain bola sepak sebenar.

Tidak hairanlah Pahang sebagai Juara Piala Malaysia dua kali berturut-turut hanya menyumbang seorang pemain dalam kesebelasan utama Malaysia.

Selamat tinggal rembatan Mubin

Jadi dalam soal perginya pemain tengah Faizol Hussien ke JDT, adakah Pahang rugi?

Jawapannya tidak. Pahang masih bermain seperti Pahang walau siapa pun pemainnya.

Adakah Faizol Hussien pula rugi? Jawapannya mungkin. Sebab dia tidak akan dapat lagi menikmati bola sepak sebenar dalam kariernya.

Jika Faizol menggunakan alasan keluarga untuk berpindah, ia perkara yang tak munasabah dalam bola sepak, lebih-lebih lagi di Malaysia yang kecil ini.

Tetapi ada satu jalan untuk Faizol menikmati bola sepak selepas perpindahannya ini dan membawa kembali Johor seperti di era kegemilangan awal 90-an dahulu. Apa jalannya?

Dia kembali ke Johor dengan membawa falsafah bola sepak Pahang ke dalam pasukan itu.

Akhir kata, selamat tinggal rembatan bekas pemain tengah terkenal Pahang Mubin Mokhtar. - Bolosepok


PIPIYAPONG ABDILLAH penyokong setia pasukan bola sepak Pahang.

Lihat Komen