malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN Pada 14 Januari lepas, genap 39 tahun perginya seorang negarawan terbilang Tun Abdul Razak Hussein yang juga merupakan perdana menteri kedua.

Dikenali dengan gelaran “Bapa Pembangunan’’, allahyarham Tun Abdul Razak merupakan seorang perdana menteri yang penuh visi dan misi untuk membawa Malaysia dikenali di persada dunia.

Di samping imej “boot jacket” dan tongkat yang begitu sinonim dengan beliau, Allahyarham juga mempunyai perwatakan yang lembut tetapi tegas.

Dan ini membuatkan beliau sangat dihormati oleh pemimpin dalam dan luar negara.

Allahyarham mempunyai keperibadian yang sangat sederhana baik dari segi kehidupan mahupun cara beliau menangani sesuatu isu.

Contohnya, beliau pernah berbasikal tanpa mengira panas atau mendung semata-mata untuk menyelami dan memahami kehidupan penduduk luar bandar sehingga wujudnya Felda.

Ini jelas menunjukkan beliau sangat prihatin dan sentiasa mengambil berat tentang ekonomi negara dan kehidupan luar bandar.

Walaupun dilahirkan dalam keluarga bangsawan tetapi sifat elitisme tidak terlihat dalam diri beliau.

Tengku Razaleigh Hamzah yang juga sahabat baik allahyarham merakamkan dalam buku Tun Abdul Razak: Potret Dalam Kenangan , bahawa allahyarham sangat menitikberatkan penyatuan bangsa, walaupun pernah dituduh kononnya perkauman.

Peristiwa 13 Mei

Hal ini kerana beliau sangat tegas dalam soal kemelayuan.

Hakikatnya, Tun Abdul Razak sangat memahami konsep pembinaan bangsa, dan pengalaman beliau ketika menuntut di United Kingdom sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran ini.

Beliau melihat jika negara Union Jack itu boleh membangun dengan konsep pelbagai kaum, tidak mustahil Malaysia juga sama.

Asasnya ialah keupayaan rakyat menilai pentingnya penyatuan dan ketaatan nasional yang berasaskan kepada budaya dan bahasa yang sama.

Tanggal 13 Mei 1969 adalah tarikh hitam bagi Malaysia berikutan rusuhan kaum yang telah menggugat keharmonian negara sehingga tanah air tercinta ini diisytiharkan darurat.

Parlimen digantung buat sementara waktu dan Majlis Gerakan Negara (Mageran) mengambil-alih pentadbiran negara. Allahyarham dilantik sebagai pengerusi MAGERAN untuk menangani isu 13 Mei.

Pendekatan kesederhanaan beliau membuatkan MAGERAN berjaya menangani isu dengan baik.

Selepas tragedi 13 Mei, Tun Abdul Razak mengilhamkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mengukuhkan ekonomi negara.

Kesederhanaan dalam Umno

Petronas dan Malaysia Airlines antara syarikat milik kerajaan yang lahir daripada konsep DEB.

Kesederhanaan Tun Abdul Razak diwarisi sepenuhnya oleh anak sulung beliau yang juga perdana menteri hari ini Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri mengorak langkah mempromosikan kesederhanaan dengan mengetengahkan Gerakan Kesederhanaan Global atau lebih dikenali sebagai GMM.

Bukan itu sahaja, perdana menteri juga menekankan konsep kesederhanaan dalam Umno sehingga ia menjadi topik utama pada sesi penggulungan dalam perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

GMM adalah sebuah gagasan yang diilhamkan sepenuhnya oleh Najib ketika ucap utama beliau di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2010 untuk mempromosikan kesederhanaan di mata dunia.

GMM mendapat reaksi yang positif dan baik di peringkat serantau mahupun antarabangsa.

Justeru, satu persidangan antarabangsa yang bertajuk “ICGMM 2015: Moving Towards Moderation” akan berlangsungkan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 11-12 Mac 2015.

Beberapa tokoh terkemuka dalam dan luar negara akan dijemput untuk menghuraikan serta menyokong konsep kesederhanaan yang dititikberatkan oleh perdana menteri.


SYED AHMED NAJIB SYED ABDUL RAHMAN adalah pengarah kewangan, Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF).

Lihat Komen