malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M: Charlie Hebdo tak patut cetus provokasi
Diterbitkan:  Jan 8, 2015 4:00 PM
Dikemaskini: 8:50 AM
ADS

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, akhbar satira Perancis, Charlie Hebdo tidak sepatutnya mencetuskan provokasi dan menyakitkan hati orang Islam.

Mahathir berkata, beliau tidak menyokong tindakan kumpulan bersenjata yang menyerang pejabat Charlie Hebdo sehingga mengorbankan 12 orang semalam.

Namun, redaksi akhbar tersebut sepatutnya lebih sensitif dengan perasaan orang Islam, kata Mahathir seperti dilaporkan akhbar Utusan Malaysia Online.

“Mereka suka membuat karikatur mengenai Nabi Muhammad. Ini provokasi.

"Walaupun orang Islam tidak harus membunuh tetapi sudah tentu ada kalangan orang Islam yang agak begitu marah dan mereka membuat tindakan sebegitu.

“Apa niat mereka mempermainkan Nabi Muhammad sedangkan mereka tahu ini menyakitkan hati orang Islam.

"Hanya kerana mereka rasa selamat dan kuat maka mereka boleh buat apa sahaja,” katanya seperti dipetik dalam laporan akhbar tersebut.

Tiga orang suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu adalah Said Kouachi (lahir tahun 1980), Cherif Kouachi (1982), dan Hamyd Mourad (1996).

Menurut polis, ketiga-tiganya dikenalpasti melalui kad pengenalan dalam kenderaan yang digunakan suspek.

Laporan Reuters petang ini menyebut, salah seorang daripadanya menyerah diri kepada pihak berkuasa petang ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen