malaysiakini logo
story-image
ADS

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib menangkis dakwaan seorang MP DAP yang mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menjual tanah dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran.

Jelasnya, semua tanah yang dijual oleh DBKL mengikut harga yang dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Selain itu, harga jualan itu juga mengambil kira jumlah 20 peratus nilai potensi kawasan tanah terbabit, kata Ahmad Phesal kepada pemberita hari ini.

“Mengikut undang-undang, harga tanah perlu mengikut penilaian daripada JPPH dan ditambah dengan 20 peratus nilai potensi yang ditetapkan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

“Maka, kita bukan jual dengan harga murah atau di bawah harga pasaran. Kita jual dalam harga berpatutan yang mengikut undang-undang,” katanya.

Beliau menjawab dakwaan MP Cheras, Tan Kok Wai yang mendakwa DBKL menjual tanahnya tanpa melalui tender terbuka dan dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

Ditanya mengenai dakwaan berhubung jualan tanah secara rundingan terus, Ahmad Phesal seterusnya menegaskan bahawa penjualan tanah berkenaan merupakan keputusan kerajaan.

“Kamu kena faham, apa-apa proses penjualan tanah adalah dalam dua keadaan. Pertama ialah kita kena terima realiti bahawa keputusan kerajaan mesti diikuti, itu mekanisme dalam pentadbiran kerajaan.

Keputusan kerajaan

“Jika tanah itu diputuskan oleh kerajaan untuk dijual kepada pihak tertentu, kita kena juallah," katanya yang menegaskan, jualan itu tidak dibuat secara sembarangan.

Ditanya lanjut mengenai dakwaan Tan bahawa penjualan tanah bukan mengikut tender terbuka, Datuk Bandar sekali lagi menegaskan bahawa segala penjualan tanah adalah mengikut keputusan kerajaan.

“Saya dan kata tadi, realitinya ialah kita kena ikut keputusan kerajaan. Tender terbuka ke atau tender terhad, itu semua atas keputusan kerajaan.

“Tetapi saya hendak pastikan semua itu dibuat (dengan) mematuhi peraturan.

“Saya pun tak mahu nanti selepas saya tak jadi Datuk Bandar, (kerajaan) panggil saya balik dan menanya saya 'pasal apa kamu dah jual' pula,” kata Ahmad Phesal lagi.

Beliau turut mengesahkan bahawa DBKL menjual tiga bidang tanah kepada tiga syarikat yang dimiliki oleh satu keluarga saudagar kain terkenal, Mohamad Jakel Ahmad.

“Ya, kamu dah tahu kan? Betul lah Saya kata itu semua keputusan kerajaan,” katanya.

Tan sebelum ini mempersoalkan tindakan DBKL yang menjual ketiga-tiga bidang tanah tersebut kepada satu syarikat sahaja.

Terdahulu, Ahmad Phesal menyertai satu pertemuan dengan sembilan orang MP Pakatan Rakyat di Menara 1 DBKL.

Lihat Komen