malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Gerai di Jalan Sultan untuk warga tempatan'
ADS

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib mengesahkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bercadang menyediakan satu kawasan baru untuk penjaja di Jalan Sultan.

Tegasnya, kawasan baru yang dicadangkan untuk penjaja muda itu akan dikhaskan untuk penyertaan warga tempatan.

“Maka, demi memberi peluang kepada peniaga muda Cina, Melayu dan India untuk berniaga, kita ada cadangan ini,” katanya yang mengesahkan cadangan tersebut.

Ketika ditanya, Ahmad Phesal berkata, projek berkenaan masih di peringkat cadangan dan pihaknya masih perlu memutuskan kawasan Jalan Sultan yang terlibat.

Jelasnya, projek yang dicadangkan itu dikhaskan untuk penyertaan golongan muda berusia bawah 40 tahun.

Beliau juga berkata, Jalan Sultan dipilih sebagai kawasan baru untuk penjaja kerana ia berdekatan dengan kawasan masyarakat Cina.

Mengulas mengenai masalah kesesakan tafi yang mungkin berlaku, Datuk Bandar berkata, semua masalah itu bakal dibincangkan dan dikaji.

“Kami akan teliti, bukan kami akan buat terus, kita akan kajinya,” katanya.

Datuk Bandar berkata juga, DBKL selepas ini akan mewujudkan sebanyak 115 buah gerai barangan lusuh di Lorong Petaling.

Kawasan tersebut sebelum ini popular dengan nama jolokan 'Pasar Karat' yang menjadi tempat tumpuan penjual barangan terpakai.

“Saya dah minta naik taraf kawasan itu (Lorong Petaling) dan kami akan cari pihak untuk melukis dinding (mural) di sana, menjadikan kawasan itu tarikan pelancong,” jelasnya.

Ahmad Phesal bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan sembilan orang MP Pakatan Rakyat di Menara 1 DBKL hari ini.

Lihat Komen