malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP DAP persoal tugas DBKL, bajet RM2.44b
Diterbitkan:  Dec 19, 2014 12:42 PM
Dikemaskini: 6:59 AM
ADS

MP Segambut Lim Lip Eng mempersoal mengenai bajet besar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 2015 yang lebih tinggi sedikit berbanding Selangor walhal kebanyakan tugas utamanya didakwa diberi kepada agensi luar.

"Tidak masuk akal bagi DBKL mempunyai belanjawan RM2.44 bilion bagi tahun 2015 yang lebih tinggi sedikit berbanding belanjawan Selangor yang bernilai RM2.42 bilion walhal Selangor mesti melayani populasi 3.2 kali ganda lebih besar daripada Kuala Lumpur," katanya.

Dalam kenyataan medianya, Lim menambah bahawa kawasan perkhidmatan Selangor pula meliputi seluas 33 kali ganda berbanding keluasan ibu kota sekaligus mempersoal tugas sebenarnya pihak berkuasa tempatan itu.

"Selain daripada aktiviti berbasikal sebulan sekali pada hari tanpa kereta setiap pagi Ahad pertama setiap bulan, saya ingin menggesa Tengku Adnan untuk menjelaskan kepada warga kota apa sebenarnya kerja DBKL setelah demikian banyak tugas-tugasnya disumberluarkan.

"Adakah tugas DBKL begitu picisan tarafnya setakat menukar nama jalan dan mengambil tindakan terhadap gelandangan?" kata Lim selepas pertemuan anggota parlimen Wilayah Persekutuan KL bersama datuk bandar di ibu negara hari ini.

Mengulas lanjut, Lim turut mendakwa DBKL menjadi agensi penyumber luar terbesar apabila mendakwa pemberian kontrak pembentungan kepada Indah Water dan kawal selia tandas kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Selain itu, dakwanya, Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) diberi kepada Telekom Malaysia dan urusan bil, kutipan hasil iklan, lesen perniagaan dan komersial dipantau dan disimpan rekodnya oleh Oracle Synergy Sdn Bhd manakala Pembersihan sungai pula menjadi urusan syarikat swasta di bawah arahan Jabatan Perdana Menteri.

"Tidak hairanlah kenapa RM1.044 bilion yang merupakan 64.2% daripada belanjawan pengurusan DBKL berjumlah RM1.63 bilion bagi tahun hadapan akan dibelanjakan untuk perkhidmatan dan bekalan bermacam-macam kontraktor dan sub-kontraktor ini semua," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Datuk Seri Ahmad Phesal Talib menjawab sama ada perkara yang dibangkitnya itu benar atau tidak.

Lihat Komen