malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
UM8 akan panjang rayuan pada Muhyiddin jika...
ADS

Kumpulan lapan mahasiswa Universiti Malaya (UM) atau dikenali sebagai UM8, akan memanjangkan rayuan mereka sehingga kepada Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tuduhan terhadap mereka digugurkan.

Bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol berkata langkah tersebut akan diambil jika rayuan mereka kepada UM hari ini tidak berjaya.

"Kalau rayuan tidak berjaya juga, kita akan buat semakan kehakiman di mahkamah luar," katanya kepada pemberita hari ini sebelum menyerahkan surat rayuan kepada Naib Canselor Profesor Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin.

Fahmi salah seorang UM8 yang digantung pengajian dua semester dan didenda RM600 ekoran penganjuran pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus perdana itu pada 27 Oktober lalu tanpa kebenaran universiti.

Selain Fahmi, Pengerusi Pro-Mahasiswa UM Safwan Shamsuddin pula digantung pengajian selama satu semester dan didenda RM300.

Empat yang lain - Haw Yu Hong, Khairul Anwar Khairuddin, Adam Fistival Wilfrid dan Syamimi Munira Mohamed - masing-masing didenda RM150 berserta amaran.

Sementara Khairol Najib Hashim hanya diberi amaran dan manakala Abraham Au didapati tidak bersalah.

Mengulas lanjut, Fahmi mendakwa prosiding tatatertib terhadap mereka terkhilaf di sisi undang-undang apabila pihak pendakwaan gagal mengikuti prosedur prosiding secara adil dan saksama.

Ia termasuk penglibatan pengerusi jawatankuasa tatatertib itu Profesor Dr Zanariah Abdullah yang dilantik dari bahagian Hal Ehwal Pelajar sebagai anggota panel prosiding yang didakwa mereka "ada konflik kepentingan".

"Beliau tidak seharusnya memegang peranan sebagai pendakwaraya, dan juga sebagai hakim atau ahli panel yang akan memutuskan sama ada saya bersalah atau tidak.

"Atas sebab konflik kepentingan, tiada siapapun dari pejabat HEP ataupun pejabat NC seharusnya memainkan peranan sebagai pendakwaraya atau panel hakim," kata Fahmi.

Surat rayuan mereka diterima oleh wakil pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) dan juga wakil pejabat HEP kira-kira jam 11.30 pagi.

Lihat Komen