Empat ADUN Pakatan Rakyat Selangor menafikan telah menarik balik sokongan mereka kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi menteri besar.
Ahli PKR Badrulhisham Shaharin membuat dakwaan itu dalam satu sidang akhbar hari ini, dengan menunjukkan salinan surat yang kononnya dari ADUN berkenaan mengatakan mereka akan menarik balik sokongan.
"Ini tuduhan palsu, fitnah, langsung tidak berasas," kata ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei kepada
Malaysiakini.
ADUN PKR itu berkata beliau tidak pernah menandatangani sebarang dokumen menarik sokongan kepada presiden parti itu.
Sementara itu, ADUN DAP Kinrara, Ng Sze Han juga menyifatkan perkara itu sebagai satu pembohongan.
"Ini adalah satu pembohongan. Ia tidak pernah berlaku. Saya telah melihat surat ini (menarik balik sokongan) dan telah menafikannya sebelum ini," katanya.
Begitu juga dengan ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran yang turut menyangkal dakwaan itu dan mendedahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat.
"Beliau (Badrulhisham Shaharin) tidak boleh semberono. Dia sepatutnya mengesahkan perkara itu terlebih dahulu," katanya.
ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar turut menafikan dakwaan Badrulhisham yang juga bekas ahli majlis pimpinan pusat PKR.
Malaysiakini
tidak menyiarkan nama seorang lagi ADUN sementara menunggu respon daripadanya.