malaysiakini logo
story-image
ADS

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Selangor akan mempertimbangkan pembayaran gaji yang tertunggak kepada tujuh anggota DUN (ADUN) yang pernah digantung tanpa gaji sejak tahun 2005. 
 
Pengerusinya, Hannah Yeoh berkata, ia itu akan dipertimbangkan berdasarkan kes yang dimenangi oleh Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo apabila Mahkamah Persekutuan mengarahkan Parlimen membayar gaji dan imbuhan yang ditahan semasa digantung selama setahun pada 2009. 
 
"Memandangkan kes Gobind Singh di Mahkamah Persekutuan dan beliau telah menang dan mempunyai hak mendapatkan gaji, kita akan menimbang semula kesediaan pihak Dewan Negeri untuk membayar gaji bekas-bekas ADUN yang telah digantung tanpa gaji. 
 
"(Bagaimanapun) kes yang ini, pihak eksekutif bersedia untuk menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan tetapi keputusan ini perlu dibuat oleh legislatif dan bukan eksekutif. 
 
"Oleh sebab itu, menteri besar kata beliau akan memulangkan kes ini pada legislatif untuk dikaji," katanya dalam sidang media di lobi bangunan Annex, Shah Alam. 
 
Selain itu, ADUN Subang Jaya itu berkata, jawatankuasa yang perlu mengkaji perkara ini juga ialah jawatankuasa yang dipengerusikannya dan akan bermesyuarat selepas sidang DUN tamat.
 
"Untuk kes ini, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan buat keputusan dan keputusan akan dibawa pada sidang Dewan pada Mac tahun depan. Dalam sidang bulan Mac, baru akan diketahui sama ada gaji mereka akan dibayar atau tidak," katanya lagi.
 
 
Bagaimanapun, katanya, jumlah gaji yang akan diterima sekiranya diluluskan adalah berbeza bagi setiap ADUN. 
 
ADUN yang pernah digantung tanpa gaji di negeri Selangor ialah ADUN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Kim (18 bulan pada 2005), bekas ADUN Sungai Panjang Datuk Seri Mohamad Khir Toyo (setahun, 2009), bekas ADUN Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim (enam bulan, 2009), bekas ADUN Seri Serdang Datuk Satim Diman (enam bulan, 2009), bekas ADUN Sabak Datuk Warno Dogol (enam bulan, 2009), bekas ADUN Dengkil Datuk Marsum Paing (enam bulan, 2009) dan bekas ADUN Hulu Bernam Datuk Mohamad Idris Abu Bakar (enam bulan, 2009). 
 
Sementara itu, Hannah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) berkata, berhubung pendengaran awam isu pampasan kontroversi lebih RM2 juta kepada kakitangan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, beliau berkata perkara itu juga akan dibincangkan selepas sidang DUN tamat minggu depan. 
 
Katanya, jawatankuasanya perlu bermesyuarat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan sama ada untuk mengadakan pendengaran awam mengenai isu pampasan kontroversi tersebut. 
 
"Isu RM2 juta itu kami mempunyai satu peraturan tetap. Semasa sidang Dewan bersidang, jawatankuasa tak boleh mesyuarat. Jawatankuasa Selcat akan bertemu selepas sidang Dewan. 
 
"Dan keputusan sama ada kami akan menyiasat perkara ini atau tidak akan bergantung kepada jawatankuasa Selcat," ujarnya. 

Lihat Komen