malaysiakini logo
story-image
ADS

NGO Sisters In Islam (SIS) menolak dakwaan biadab oleh Pemuda PAS kerana mempertikaikan fatwa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan kumpulan yang berpegang kepada liberalisme dan pluralisme.

Pengasasnya Zainah Anwar berkata NGO tidak bertindak menentang sebarang undang-undang atau perlembagaan dan hanya menggunakan hak mereka sebagai orang Islam dan rakyat Malaysia.

"Saya tak fikir ia biadab. Kami mempunyai hak (termasuk) memfailkan semakan kehakiman. Biadab adalah membuat perkara yang menyalahi undang-undang.

"Kami tak buat apa-apa yang menyalahi undang-undang," katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Dalam kenyataannya, Timbalan Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi antara lain mendakwa tindakan NGO itu mencabar institusi Raja Melayu dan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.

Anak lelaki presiden PAS itu turut mendakwa NGO itu menyebarkan Islam secara terpesong tanpa sumber-sumber hukum yang nyata.

Sementara itu bekas Menteri Undang-undang Datuk Zaid Ibrahim menegaskan masalah yang dihadapi oleh umat Islam negara ini bukanlah pendekatan sederhana dan liberal.

'Keluar PBB, sertai IS'

Sebaliknya menurut beliau, masalah yang berlaku adalah beberapa kumpulan yang tidak mahu melihat orang Islam yang berfikiran lain dari mereka dan menuduh mereka sebagai sesat.

"Masalah sekarang ialah kejahilan. Masalah sekarang ialah mereka tidak memahami konsep atau idea sebelum bercakap sesuatu," kata beliau merujuk kepada penentang SIS termasuk PAS.

"Saya bukanlah baik sangat dengan SIS tapi sepanjang 20 tahun ini mereka banyak tolong orang. Orang Islam pula tu. Kenapa nak panggil mereka sesat?" soal bekas MP Kota Bharu itu.

Beliau turut menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaannya memberi maklumat benar kepada rakyat bahawa Malaysia memegang kebebasan, hak asasi manusia dan kedamaian seperti yang dipegang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Kenapa nak bangga jadi ahli UN (PBB) jadi ahli majlis keselamatannya. Kalau nak jadi sebahagian dari dunia jadi mesti mengikut prinsip yang mendominasinya seperti hak asasi.

"Kalau tak baik, keluar dari PBB dan sokong ISIS," kata beliau merujuk kepada kumpulan militan di Iraq dan Syria yang menggunakan nama Islam.

Lihat Komen