malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Exco K'tan pertahan 'Operasi Gempur Aurat'
Diterbitkan:  Oct 31, 2014 1:31 PM
Dikemaskini: 5:57 AM
ADS

Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Abdul Fatah Mahmood menyelar NGO wanita Islam, Sisters in Islam (SIS) kerana mempersoalkan operasi pihak berkuasa kerajaan tempatan Kota Bharu ke atas golongan pekerja wanita yang tidak mengenakan tudung.

Katanya, ia tidak patut dipertikai kerana peraturan yang memperuntukkan hukuman denda berkenaan sudahpun dikuatkuasa sejak tahun 1990, menurut laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Menurut laporan berkenaan Abdul Fattah juga berkata, operasi berkenaan selari dengan pemerintah berteraskan Islam anjuran PAS dan amanah yang menurutnya dipikul oleh kerajaan negeri.

“Sebagai sebuah kerajaan yang diberik mandat oleh rakyat dan parti yang memerintah adalah PAS iaitu berteraskan Islam, kerajaan telah melaksanakan amanah sepatutnya dan kita tidak pernah melangkau hak asasi tertentu.

“Kita hendak jaga umat Islam yang memberi amanah kepada kita. Kita juga diamanahkan bukan sahaja untuk menjaga kehidupan mereka di dunia tetapi yang lebih lama di akhirat.

“Kalau kita tidak jaga di dunia ini, pasti kehidupan di akhirat juga akan terganggu, itu hasrat kita,” katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan SiS pada hari Rabu lalu yang menegaskan bahawa kerajaan negeri Kelantan tidak sepatutnya menjalankan operasi berkenaan.

NGO berkenaan menyebut, golongan wanita Muslim bebas membuat keputusan sendiri sama ada ingin bertudung atau tidak.

“Tidak harus ada paksaan dalam agama,” kata SIS yang memetik beberapa ayat al-Quran untuk menguatkan hujahnya – al-Baqarah: 2:256, Yunus: 99-100 dan al-Ghashiyah: 22.

"Oleh itu, keputusan untuk bertudung atau tidak bertudung, kekal menjadi pilihan individu itu sendiri, bukan oleh manusia lain yang berkuasa, atas niat apa sekalipun,” kenyataan itu dipetik.

'Operasi Gempur Aurat' dijalankan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam bagi memastikan para peniaga di bandar itu mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi orang Islam.

Ia termasuk undang-undang menetapkan wanita Islam bertudung dan tidak memakai pakaian “ketat”.

Laporan akhbar menyebut, sebanyak 34 kompaun dikeluarkan dalam operasi tersebut pada September dan akan diteruskan sehingga akhir tahun.

Lihat Komen