malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mangsa gores dan menang di NS rugi RM5.6j
Diterbitkan:  Oct 31, 2014 7:30 AM
Dikemaskini: 11:33 PM
ADS

Sebanyak 285 kes gores dan menang yang melibatkan kerugian kira-kira RM5.6 juta dicatatkan di Negeri Sembilan sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.

    

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata seramai 70 suspek telah ditahan dan 31 individu telah didakwa di mahkamah sepanjang tempoh yang sama.

Beliau berkata setakat ini penganjur yang menjalankan kegiatan itu didakwa di bawah Akta Kesalahan Kecil 1955.

    

"Pihak kami sedang berusaha untuk mendapatkan kesemua suspek dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman lebih berat iaitu penjara sehingga 10 tahun, sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Negeri Sembilan di Seremban semalam.

Osman berkata pihaknya sentiasa membuat pemantauan di setiap tempat khususnya di pasar raya besar seperti Tesco, namun kebanyakan daripada mereka yang menjalankan kegiatan ini terus menghilangkan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguatkuasa.

    

Katanya, pelbagai bentuk inisiatif terus dilakukan bagi menghalang para penganjur daripada menjalankan aktiviti penipuan yang memudaratkan orang ramai ini.

    

Sementara itu, Osman turut mengulas mengenai "African Scam" ataupun "Love Scam" di mana kebanyakan mangsa merupakan wanita yang dipilih khas di dalam internet.

    

"Walaupun jumlah mangsa di Negeri Sembilan tidak sampai 15 orang namun jumlah kerugian yang dicatatkan adalah terlalu tinggi iaitu lebih kurang RM5 juta," katanya.

    

Beliau berkata kebanyakan mangsa yang merupakan wanita bujang dalam lingkungan umur 40-an.

    

Osman turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan kedua-dua aktiviti ini yang hanya akan mendatangkan permasalahan peribadi yang

serius dalam kehidupan masing-masing.

- Bernama

Lihat Komen