malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Polis jangan lindungi pembalak haram'
Diterbitkan:  Oct 25, 2014 11:00 AM
Dikemaskini: 3:08 AM
ADS

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini mengingatkan polis supaya tidak melindungi dan bersekongkol dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pembalakan haram di negeri ini.

Beliau berkata pihak polis mesti mempertahankan integriti dan nama baik pasukan serta keselamatan diri mereka.

Menurutnya, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem amat serius untuk menangani aktiviti pembalakan haram di negeri ini kerana ia telah mengakibatkan kerajaan negeri kerugian ratusan juta ringgit.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) yang disempurnakan Adenan di Sibu.

Sebanyak 221 bekas polis yang pernah berkhidmat pada tiga era darurat antara tahun 1948 hingga 1990 menerima pingat pingat berkenaan.

Mengetuai senarai penerima ialah bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dr. Yusoff Nook yang kini merupakan Pengarah Unit Keselamatan Negeri, Pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Wan Junaidi juga berkata, masyarakat yang menjadi mangsa kegiatan jenayah di negeri ini agar tidak takut untuk membuat laporan polis agar tindakan segera dapat diambil.

Menurut Wan Juniadi kerajaan persekutuan akan menganugerahkan PJPN kepada kesemua 168,000 bekas anggota polis seluruh negara yang pernah berkhidmat pada tiga era darurat antara tahun 1948 hingga 1990.

Ini sebagai menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian mereka kepada negara, katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis kini meningkatkan usaha membanteras kegiatan judi siber di bandar ini dan pada tahun ini sahaja, sebanyak 169 serbuan dilakukan dan 74 kes dibawa ke mahkamah.

Katanya, jumlah serbuan tahun ini, lima kali ganda lebih banyak jika dibandingkan dengan tahun lepas.

- Bernama

Lihat Komen