malaysiakini logo
story-image
ADS

Setiausaha Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali Alhabshee menolak cadangan agar ahli parti yang membuat kenyataan “terlalu perkauman” di perhimpunan agung digantung keahliannya.

Beliau yang juga ketua Umno Cheras berkata tindakan seperti itu akan menyekat perwakilan parti daripada melontar pandangan semasa perhimpunan agung parti itu, bulan depan.

Syed Ali juga menganggap perbuatan perwakilan yang “terlepas cakap” sewaktu membahaskan isu kaum sebagai “perkara biasa”.

Bagaimanapun, katanya, pucuk pimpinan parti akan memantau segala perbahasan yang dilontarkan perwakilan mereka.

Beliau ditanya sekiranya ahli parti yang terlepas cakap sewaktu membahaskan isu perkauman wajar digantung keahlian.

"Tak wajar (digantung keahlian). Biasalah (terlepas cakap) kalau beri hujah. Sudah tentu pemimpin akan menapis dan memantau.

“Dia boleh bercakap, kalau tahan dia (nak bercakap) macam mana nak keluar idea. Cuma jangan berlebihan dan terlalu perkauman. Pucuk pimpinan akan buat yang terbaik," katanya.

"Kita bercakap untuk kebaikan seluruh rakyat. Jangan beritahu kita apa yang perlu kita dilakukan. Kita bukan ada agenda nak aniaya sesiapa. Bagi saya, kalau wakil Umno nak bercakap, ia adalah untuk kebaikan.

"Kita bercakap tentang fakta dan bukan nak mengada-adakan cerita. Kalau kita mengongkong, orang tak boleh nak bercakap," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini .

Beliau diminta mengulas cadangan Setiausaha Gerakan, Liang Teck Meng yang meminta Umno menggantung keahlian anggota parti yang mengeluarkan kenyataan “melampau” dalam perhimpunan agung parti.

Liang mengulas mengenai tindakan ke atas seorang wakil Gerakan Johor, Tan Lai Soon yang menggelarkan orang Melayu sebagai “pendatang” dalam mesyuarat agung tahunan parti itu di Shah Alam, Ahad lalu.

Senada dengan pandangan Syed Ali ialah Exco Pemuda Umno, Arman Azha Abu Hanifah yang meminta agar parti Gerakan tidak menggangu perjalanan Perhimpunan Agung Umno sepanjang 25 hingga 29 November.

Katanya, Gerakan tidak seharusnya masuk campur di dalam urusan dan perlembagaan Umno.

"Apa yang berlaku pada perwakilan Gerakan adalah hak parti mereka. Itu pendirian parti mereka. Kita hormati keputusan yang dibuat parti mereka.

Tapi kita minta supaya jangan ganggu perjalanan perhimpunan Umno. Lebih baik Gerakan fokus untuk kuatkan parti itu sendiri daripada cuba mengganggu apa yang termaktub dalam persidangan Umno nanti," katanya.

Lihat Komen