malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Adenan: 'Cakap bodoh' nak tutup sekolah Cina
Diterbitkan:  Oct 22, 2014 3:51 PM
Dikemaskini: 7:54 AM
ADS

Sekolah-sekolah persendirian Cina di Sarawak diberi jaminan bahawa kerajaan negeri komited dalam usaha membantu meringankan beban pengurusannya.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang menganggap cadangan sesetengah pihak supaya sekolah-sekolah Cina ditutup sebagai 'cakap bodoh' berkata, pemimpin Cina di Sarawak tidak perlu bimbang mengenai perkara itu, kerana kerajaan Sarawak komited untuk membantu sekolah berkenaan.

Beliau berkata selain Bahasa Mandarin, sekolah-sekolah ini turut mengajar mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan ia turut disertai pelajar daripada kaum lain di Sarawak.

"Ini permulaan kita bantu (kewangan) RM3 juta, tahun depan ada lagi, mungkin lebih besar, kita beri RM3 juta dulu," katanya semasa berucap pada majlis penyampaian cek sumbangan kerajaan Negeri kepada Sekolah-sekolah Bantuan Jenis Kebangsaan Cina Sarawak di Chung Hua Middle School No 1, di Kuching.

Sumbangan RM3 juta kepada Sarawak United Association of Private Chinese Secondary School Management Board itu adalah untuk diagihkan kepada semua 14 sekolah swasta Cina di Sarawak.

Adenan berkata masyarakat Cina sudah berada di Sarawak sejak beratus tahun, menjangkau lebih lima generasi.

"Jangan panggil ini orang pendatang, tidak bagus. Anda rakyat Malaysia, anak Sarawak," katanya menambah saiz Sarawak yang "cukup besar untuk semua" dan adalah tidak adil untuk melabelkan kaum tertentu sebagai pendatang.

Menurutnya, walaupun soal pendidikan berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, namun dalam soal bantuan terus untuk sekolah-sekolah, kerajaan negeri tidak ada masalah untuk campur tangan dalam menghulur bantuan.

- Bernama

Lihat Komen