malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kelantan selar kumpulan peguam isu solat Jumaat
Diterbitkan:  Oct 22, 2014 1:34 PM
Dikemaskini: 5:37 AM
ADS

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyelar kumpulan Lawyers For Liberty (LFL) yang mempertikaikan penguatkuasaan peraturan mewajibkan orang lelaki Islam menunaikan solat Jumaat di negeri itu.

Utusan Malaysia melaporkan Ahmad menegaskan peraturan itu tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak terutamanya orang bukan Islam kerana ia merupakan hak dan peraturan yang ditetapkan oleh agama Islam.

“Banyak pihak sekarang ini cuba mempertikaikan ibadat orang Islam. Saya rasa tak perlu dibangkitkan, sebab kita tak pernah pun mengkritik apa-apa amalan dalam agama lain.

“Contohnya, membakar mayat dalam agama lain. Dalam Islam tak boleh tetapi kita tetap hormat agama dia. Jadi kita harap semua pihak tolong menghormati agama masing-masing,” katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah dan Hubungan Serantau negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud baru-baru ini mengumumkan, lelaki Islam yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut ketika berada di negeri ini boleh dipenjarakan selama setahun serta denda sehingga RM1,000.

Ahad lalu, LFL mengeluarkan kenyataan menyamakan pelaksanaan peraturan itu seperti tindakan meletakkan orang Islam bawah “ kediaman terhad , seperti penjenayah berat”.

Menurut LFL lagi, tindakan kerajaan PAS negeri untuk mengenakan tindakan terhadap orang Islam itu melanggar beberapa perkara dalam perlembagaan, berkaitan kebebasan individu, kebebasan bergerak dan kebebasan beragama.

Lihat Komen