malaysiakini logo
story-image
ADS

"Saya boleh bayangkan gelak tawa sanak saudara sambil menikmati juadah enak," itulah antara ungkapan atlet wanita negara Hemala Devi Eni Kutty, 24, yang pertama kali menyambut Deepavali di perantauan.

Pengalaman menyambut Deepavali tanpa keluarga sedikit sebanyak telah mencetuskan rasa hiba kepada Hemala Devi.

Namun, kejayaan meraih dua pingat gangsa dalam acara Lempar Cakera Wanita F11/12 dan Lempar Peluru F11/12 pada temasya Sukan Para Asia Incheon, Korea Selatan, mengubat kesedihan itu.

"Agak sedih...setiap kali fikir hari ini Deepavali, saya rasa nak menangis. Tapi saya lega sebab sebelum ke Incheon, saya sudah menjalankan tanggungjawab kepada keluarga.

"Saya sediakan mereka pakaian baharu untuk sambutan Deepavali...saya mahu mereka ingat saya walaupun tidak bersama keluarga pada saat gembira itu," katanya kepada Bernama, di Incheon hari ini.

Temasya Sukan Para Asia Incheon, Korea Selatan bermula sejak 18 Okt lepas dan berakhir 24 Okt ini.

Kontinjen Malaysia terdiri daripada 199 orang termasuk atlet dan pegawai, bertanding dalam 15 daripada 23 acara yang dipertandingkan.

Sehingga hari keempat, semalam, sebanyak tujuh pingat emas, 15 perak dan 11 gangsa berjaya dipungut kontinjen negara.

Hemala Devi berkata walaupun berjauhan dengan keluarga, sekurang-kurangnya beliau memiliki keluarga kedua termasuk ketua jurulatihnya, R.Jeganathan.

Sementara itu, Jeganathan, walaupun sudah beberapa kali menyambut perayaan Deepavali di perantauan, masih terasa sedih menyambutnya tanpa keluarga.

"Keluarga saya kecil sahaja...hanya isteri dan dua anak lelaki. Jadi bila saya tiada di rumah masa Deepavali, ketiadaan saya itu amat dirasai.

"Namun, mereka bertiga sangat memahami komitmen saya terhadap atlet-atlet paralimpik. Ini demi kepentingan sukan dan juga negara," katanya.

Jeganathan berkata beliau bukan sahaja jurulatih kepada para atlet tetapi berperanan sebagai bapa yang menguruskan keperluan atlet kelainan upaya.

Menurut beliau, masanya lebih banyak dihabiskan bersama anak didiknya berbanding keluarga, namun beliau merasakan dirinya bertuah apabila memiliki isteri dan anak-anak yang sangat memahami.

"Memang hiba keluarga tiada di sini bersama saya tapi dalam masa sama, saya gembira...Malaysia hampir berjaya di Incheon," katanya.

- Bernama

Lihat Komen