malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
S'gor nafi luluskan pesta arak Oktoberfest
Diterbitkan:  Oct 7, 2014 4:00 PM
Dikemaskini: 9:25 AM
ADS

Kerajaan Selangor menafikan meluluskan penganjuran pesta arak, Octoberfest anjuran syarikat arak Carlsberg semasa pentadbiran menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini.

Exconya Iskandar Abdul Samad ( bawah ) berkata, perkara berhubung pesta itu tidak pernah dibawa untuk perbincangan dalam mesyuarat exco.

"Terdapat tuduhan Oktoberfest diluluskan ketika pentadbiran TSKI (Khalid) dan empat exco PAS. Ini tidak benar.

“Ia tidak pernah di bawa kepada mesyuarat exco," kata anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS itu dalam Facebooknya.

Pesta turut mendapat bantahan pemimpin PAS dan NGO seperti Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILHAM) dan anggota Parlimen PAS kawasan Temerloh Nasruddin Hassan.

Pesta Octoberfest bermula sejak abad ke-19 lagi.

Peringkat Malaysia, untuk 2014, ia bermula di hotel Subang pada 24 September dan beberapa tempat di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sambutan akhir dijadual diadakan di pusat membeli belah One Utama di Petaling Jaya daripada 10 hingga 12 Oktober dan dijangka menarik perhatian 12,000 orang penggemar bir.

Isu papan iklan

Sementara itu, PAS Selangor hari ini mendesak supaya kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menaikkan papan iklan pesta itu.

Ketua Penerangannya, Zaidy Abdul Talib berkata, pesta itu jelas bercanggah dengan Akta Eksais 1976 berhubung permohonan lesen untuk menjual minuman yang memabukkan.

"PAS Selangor juga meminta pihak MBSA mengambil tindakan tegas kepada pihak yang bertanggungjawab mencetuskan kontroversi dengan menaikkan iklan billboard Octoberfest tanpa kebenaran di sekitar Saujana Hotel Subang, walau ia diturunkan semula selepas 3 hari dinaikkan," katanya.

Kebebasan beragama

Perkara sama dilahirkan Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah Ahmad Tarmizi yang meminta kerajaan persekutuan dan negeri serta pihak PBT menghentikan pesta itu.

Katanya, Islam tidak melarang penganut agama lain meminum arak namun mengadakan pesta arak di negeri atau negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan adalah tidak wajar.

Ahmad Tarmizi meminta agar tiada pihak menyamakan isu kebebasan beragama dengan meminum arak secara terbuka.

"Islam mengiktiraf keamanan pihak bukan Islam yang berlindung di rumah ibadat atau berhala bukan Islam, tetapi tiada nas dan dalil yang mengiktiraf keselamatan di premis judi dan arak.

“Ini bezanya dan harap tiada pihak yang menyamakan kes kebebasan beragama dengan kes kebebasan meminum arak secara terbuka," katanya.

Lihat Komen