malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kekal Khalid: Dalam teks ucapan ada, tapi tak dibaca
Diterbitkan:  Sep 17, 2014 12:00 PM
Dikemaskini: 11:16 AM
ADS

MUKTAMAR Dalam teks ucapan pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yaakob, ia menyebut bahawa sayap itu memutuskan bahawa pertukaran menteri besar Selangor adalah tidak perlu.

Tetapi apabila Ahmad, yang juga menteri besar Kelantan, berucap, beliau tidak pula menyentuh bahagian berkenaan.

"Dewan Ulama PAS mempertegaskan bahawa pertukaran menteri besar adalah tidak perlu dan menegaskan bahawa menteri besar sedia ada perlu dikekalkan pada jawatan kerana Islam menekankan beban pembutian setiap kesalahan ke atas si penuduh dan selagi mana tidak dibuktikan maka yang tertuduh hendak lah dikekalkan sebagai tidak bersalah," teks ucapannya dipetik.

Teks ucapan tersebut diedarkan kepada petugas media yang membuat liputan di dewan IOI Palm Villa Golf and Country Club, Kulaijaya, Johor.

Perkara itu dilaporkan beberapa media, termasuk akhbar web PAS sendiri Harakahdaily sebelum ini.

'Saya hanya sebut umum'

Sementara itu, dalam ucapan penggulungannya selepas itu, Ahmad menjelaskan beliau hanya menyebut secara umum perkara itu.

"Saya tidak highlight (ketengah) pun tadi. Dia (Khalid) dah dipecat dari parti dia dan tak ada apa lagi kita nak kepada dia.

"Saya hanya bagi contoh pendekatan (membuat keputusan) mengikut dasar hukum Islam, bukan Ulama Pusat nak pada Khalid lagi.

"Yang itu tak berbangkit, tak relevan lagi.

"Apa disebut di sini ialah sebagai sebuah sebuah parti Islam di mana sebarang keputusan politik sama ada atas kerangka Pakatan Rakyat atau lain-lain hendaklah sentiasa merujuk sumber-sumber Islam.

"Jadi saya harap rakan media mengambil yang betul dalam buat laporan," katanya.

Dalam teks ucapannya juga, beliau yang juga ADUN Pasir Pekan berkata sayap parti yang dipimpinnya itu tidak mempersetujui peletakan jawatan ADUN Kajang sewenang-wenangnya.

Ini kerana, katanya, Islam tidak membenarkan pengkhianatan kepada amanah dan pembaziran harta negara dan pilihan raya kecil yang tidak perlu diadakan.

"Dewan Ulama PAS membincangkan dari perspektif syara' kewajaran seorang wanita untuk memgang amanah pemerintahan dalam aspek 'wilayah am' dan soal kemampuan untuk memerintah.

"Sebarang persetujuan melantik mana-mana pemimpin adalah satu syahadah (penyaksian akan kelayakkanya) dan bakal menjadi soal jawab di akhirat kelak," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Dewan Ulama PAS memuji dan menyokong pendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor.

"(Ini) kerana (beliau) istiqamah mengambil pertinbangan dasar Islam dalam membuat keputusan sungguhpun berdepan dengan desakan dan tekanan daripada pelbagai pihak," katanya dalam ucapanya.

Lihat Komen