malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PAS mahu PP, S'gor giat bela Melayu...
ADS

Pemuda PAS mahu kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan Selangor menunjukkan contoh terbaik untuk terus membela dan memartabatkan Melayu, bumiputera dan kaum lain yang terpinggir di bawah dasar afirmatif yang dilaksanakan dalam dua kerajaan Pakatan itu.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata perkara itu antara aspek "yang masih kurang menonjol" dan usaha mapan perlu digiatkan khususnya bawah portfolio pembangunan luar bandar dan portfolio belia dan sukan.

"Pemuda PAS berpandangan bahawa dasar afirmatif tetap relevan untuk membantu Melayu, Bumiputera dan bangsa lain yang hidup melarat.

"Kami menyeru supaya Kerajaan Pakatan Rakyat meneruskan perlaksanaan dasar afirmatif secara mapan dan berkesan yang benar-benar mampu membela nasib Melayu dan bangsa lain yang terpinggir daripada limpahan kekayaan ekonomi.

"Kita tidak mahu ada di kalangan warganegara yang tercicir daripada menikmati limpahan kekayaan negara. Sekiranya perkara ini dapat dilaksanakan, secara sendiri terkuburlah khurafat yang mengatakan bahawa orang Melayu hanya bermartabat sekiranya berada di bawah Umno," katanya.

Beliau berkata demikian dalam usaha untuk menggerakkan agenda bersepadu untuk menguasai sokongan pengundi muda Melayu ketika menyampaikan ucapan dasarnya bertajuk "Memperkukuh Muafakat" dalam Muktamar Pemuda PAS di Dewan Chon Moi, di Kota Tinggi Johor petang ini.

Suhaizan mengakui PAS masih belum benar-benar memahami citarasa anak muda Melayu khususnya di luar bandar sekalipun kerap mengulanginya matlamat untuk memenangi hati dan minda mereka.

Sehubungan itu, beliau menggesa satu strategi menguasai mereka disusun termasuk mengusulkan kepada pusat penyelidikan parti dan Pemuda PAS supaya bekerjasama menggerakkan siri kajian lapangan dan ilmiah bagi merumuskan pendekatan yang sesuai untuk mendekati orang Melayu

"Pemuda PAS juga harus memperhebatkan usaha pendidikan politik di kawasan luar bandar dengan pendekatan yang sesuai dengan anak muda luar bandar.

"Pemuda PAS mesti memecahkan pemikiran perkauman melampau di kalangan pemuda Melayu muda yang menjadi salah satu punca kekalahan PAS dalam siri PRU yang lepas," katanya.

Beliau turut menyeru jentera Pemuda supaya berani mencuba pendekatan baru dan kreatif termasuklah menyampaikan pendidikan politik secara tidak formal melalui pendekatan sukan, hiburan, adat resam setempat, kesukarelawan dan majlis keraian.

Lihat Komen