malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Urus perbezaan pendapat, konflik elak krisis dalaman'
ADS

Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat mendesak kepimpinan parti supaya menyediakan pelan tindakan untuk menguruskan perbezaan pendapat dan konflik dalaman parti dalam usaha memperkasakan parti.

Menurutnya, parti itu dilihat tidak mempunyai pelan tindakan untuk mengurus konflik dalaman dan perbezaan pendapat dalam parti sehingga menurutnya bertukar menjadi krisis yang parah.

Lebih menyedihkan, katanya, Majlis Syura Ulama - badan tertinggi dalam parti - diperlekeh dan dipertikai sesetengah ahli dan pihak luar sehingga masyarakat mempersoal kemampuan kepimpinan parti menguruskan konflik dalaman.

"Isi kandungan mesyuarat boleh dicapai oleh media luar parti dengan begitu cepat. Perbincangan dalaman boleh sampai ke media pihak lawan.

"Media baru yang sepatutnya menjadi alat untuk berdakwah sudah menjadi alat untuk menembak kaki sendiri. Lebih malang lagi apabila masalah di rumahtangga jiran, tiba-tiba rumahtangga kita pula yang berantakan.

"Masyarakat umum menggeleng kepala melihat betapa lemahnya kita mengurus krisis sehingga luka kecil akhirnya bernanah," katanya dalam ucapan dasarnya bertajuk "Memperkukuh Muafakat" dalam Muktamar Pemuda PAS di Kota Tinggi, Johor.

Masih belum terlambat untuk menyelesaikannya, Suhaizan berkata beliau yakin kepimpinan PAS mampu menguruskan khususnya melibatkan pengurusan krisis dalam parti.

Ini termasuklah, katanya, memperteguhkan Majlis Syura Ulama bagi mengelak parti agar tidak terbabas daripada landasan syara' sekaligus menyedarkan anggota parti supaya tidak dimanipulasikan musuh.

'Displin dan adab'

"Saya juga menyeru para pimpinan parti untuk menjadi qudwah dalam menunjukkan disiplin dan adab yang tinggi kepada ahli parti khususnya ketika mengahadapi satu-satu krisis. War Room PAS Pusat yang ditubuhkan perlu diaktifkan.

"Lembaga Disiplin parti juga dilihat terlalu lesu dan perlu diperteguhkan segera. PAS Pusat perlu lebih serius menguruskan krisis yang sedang berlaku," katanya.

Mengulas krisis menteri besar Selangor, Suhaizan meluahkan rasa kecewa apabila parti dalam gabungan itu bergeser sesama sendiri sehingga hampir memusnahkan hubungan yang dibina sejak 2008.

Sambil menegaskan kepimpinan Pakatan supaya tidak memandang enteng dengan krisis itu, Suhaizan menyeru kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat supaya mengambil berat perkara itu dan mengambil langkah segera memperkukuh kembali hubungan antara parti dalam Pakatan.

"Dalam apa jua krisis yang dihadapi, Pemuda PAS harus menunjukkan kematangan dan ketajaman politik untuk mengawal krisis tersebut daripada menjadi lebih parah.

"Ini bukan bermakna kita cuba menyekat kebebasan menyatakan pandangan. Kita tetap bebas utarakan apa jua sikap dan pandangan kita selaku orang muda yang lantang, kritis dan penuh idea namun ia mesti dilakukan secara tertib demi memperbetulkan keadaan.

"Bak kata orang tua-tua, ‘biar senget, jangan tertiarap. Biar titik, jangan tumpah'," kata Suhaizan sambil menambah pihaknya berusaha untuk menyelesaikan krisis itu.

Beliau turut tegas mempertahankan keputusan dan pendirian yang dibuat oleh PAS dalam krisis di negeri itu dan tidak mengizinkan mana-mana pihak pun memperlekehkan integriti PAS.

Lihat Komen