malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penyelidik PAS cadang k'jaan campuran di S'gor
Diterbitkan:  Aug 12, 2014 1:27 PM
Dikemaskini: 5:53 AM
ADS

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki menggesa Pakatan Rakyat mengambil jalan tengah dengan menubuhkan kerajaan campuran dengan BN demi merungkai krisis dalam pentadbiran negeri Selangor.

Beliau berpendapat bahawa langkah itu boleh dilaksanakan dengan mengekalkan menteri besar sebagai ADUN bebas dan memberi tanggungjawab bersama kepada pembangkang di negeri itu.

Langkah itu berdasarkan konsep perdamaian 'konsensus nasional' antara BN dan Pakatan yang giat dibincangkan selepas pilihan raya umum sebelum ini.

Zuhdi berkata, konsep perdamaian itu juga merupakan pertimbangan utama oleh Majlis Syura Ulamak PAS dalam memutuskan sokongan untuk menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar.

“Perkara ini juga menjadi intipati penting kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang memutuskan untuk mengekal Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, atas asas kepentingan rakyat perlu didahulukan daripada kepentingan individu dan parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Zuhdi dalam kenyataan di Facebook berkata, BN di Selangor boleh diberi tanggungjawab khusus seperti kuasa semak dan imbang.

"Pewujudan kerajaan tersebut ialah dengan mengekalkan menteri besar sebagai ADUN bebas dan barisan exco yang sedia ada, menjadikan BN sebagai pembangkang yang mesra kerajaan.

“(Selain itu, ia dijalankan dengan) menubuhkan Majlis Pemuafakatan Selangor yang melibatkan seluruh parti sama ada dari Pakatan Rakyat, BN atau ADUN bebas untuk menjayakan konsensus nasional tersebut." katanya.

Zuhdi yakin bahawa kaedah berkenaan akan menangani ketidakstabilan politik dan mengelakkan pilihan raya baru diadakan di Selangor.

Tambahnya, langkah itu selari dengan konsep perdamaian yang disebut-sebut oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Semangat konsensus nasional ini perlu dihidupkan semula demi mengelakkan kemelut politik negeri Selangor yang berpanjangan sehingga turut boleh menjejaskan rakyat Selangor dan Malaysia secara keseluruhan.

Zuhdi sebelum ini meraih kontroversi apabila pandangannya berhubung kemungkinan PAS keluar dari Pakatan Rakyat dalam perbincangan tertutup tersebar di Internet.

Zuhdi mendakwa perbincangan itu bocor ekoran tentangan beliau ke atas projek Langkah Kajang - yang pada awalnya disasarkan untuk melantik Anwar sebagai menteri besar baru Selangor.

Lihat Komen