malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiga lagi ketua cabang PKR tolak Khalid
Diterbitkan:  Aug 4, 2014 4:48 PM
Dikemaskini: 10:03 AM
ADS

Tiga lagi ketua cabang PKR hari ini mendesak Tan Sri Khalid Ibrahim melepaskan jawatan menteri besar Selangor.

Mereka adalah Ketua Cabang PKR Kuala Selangor S Manikavasagam, ketua cabang PKR Pandan Muhammad Ishak Zainuddin dan Puvenendran Munusamy  dari Hulu Langat.

Dalam kenyataan media bersama hari ini, mereka berkata parti yang memerintah mempunyai hak mutlak memilih ketua kerajaan sebagaimana proses yang dilalui oleh Khalid sebelum mengangkat sumpah sebagai menteri besar.

"Proses menamakan calon menteri besar serta proses mengugurkan menteri sesar bukan hak rakyat, ia adalah hak parti pemerintah. Sewajarnya Tan Sri Khalid dengan aman dan rela hati mengundur diri tanpa perlu membuat pelbagai alasan serta helah.

"Sekiranya proses menukar Menteri Besar perlu mendapat sokongan rakyat maka sudah tentu ketika menamakan Tan Sri Khalid  sebagai Menteri Besar juga perlu merujuk kepada rakyat," petik kenyataan itu.

Sehingga kini 10 dari 22 ketua cabang PKR secara terbuka telah menolak Khalid dan menyokong Wan Azizah bagi menggantikan bekas tokoh korporat itu.

Lima ketua cabang

Sebelum ini, Ketua cabang Subang Sivarasa Rasiah, William Leong (Selayang) Yew Boon Lye (Klang) dan ketua ranting Sungai Jarom yang mewakili ketua cabang Kuala Langat David Cheong turut membuat kenyataan bersama mendesak Khalid berundur.

Ketua cabang lain yang turut menyokong termasuklah ketua cabang Sabak Bernam, Abu Talip Bujang; ketua cabang Sungai Besar, Mohamad Fauzi Ahmad; ketua cabang Kapar, Azizi Ayob dan ketua cabang Sepang, Burhan Aman Shah.

Bagaimanapun Malaysiakini menerima SMS dari Azizi yang menyatakan beliau tidak bersetuju dengan kenyataan itu.

Pada Khamis lalu lima ketua cabang yang diketuai ketua cabang PKR Tanjung Karang, Yahya Mat Shaari meminta tindakan displin dikenakan terhadap Khalid kerana tidak mengikut arahan parti yang mahu menggantikan beliau.

Yahya pula memberitahu Malaysiakini semalam bahawa semua ketua cabang PKR Selangor telah bersetuju dengan keputusan parti menggantikan Khalid dengan presiden mereka Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, tiga ketua kampung baru Cina turut mendakwa Khalid gagal menyelesaikan isu tanah yang tertunggak dan tidak mengendahkan rungutan penduduk.

Isu tertunggak

Mereka ialah Ketua Kampung Baru Pasir Penambang, Tanjung Karang Lim Eng Wan, Ketua Kampung Baru Sasaran Sungai Buloh Kuala Selangor Lee Boon Huat dan Ketua Kampung Baru Bagan Sungai Yu Kuala Selangor (Sow Eng Wan).

Dalam satu lagi kenyataan bersama hari ini mereka mendakwa Khalid menyelesaikan isu tanah antaranya melibatkan Kampung Baru China Kapung Baru Pasir Penambang dan Kampung Baru Bagan Sungai Yu Kuala Selangor yang melibatkan lebih 220 keluarga.

" Penduduk menuntut janji Tan Sri Khalid sejak Mac 2008 yang menjanjikan hak milik persendirian bagi mereka yang telah menduduki tanah lebih 15 tahun. Hampir keseluruhan 220 keluarga yang tinggal di Kampungg Baru telah menduduki tanah lebih 50 tahun.

"Apa yang menyedihkan penduduk telah beberapa kali cuba membuat temujanji dengan Tan Sri Khalid tetapi tidak pernah mendapat layanan.

"Malah yang menyayat hati mereka bilamana usaha bertemu Tan Sri Khalid secara temu janji tidak berhasil mereka cuba menemui Tan Sri Khalid terus dalam sebaik tamat beberapa acara Tan Sri Khalid diluar namun tidak dilayan dengan baik dan sempurna," kata mereka.

Lihat Komen