malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jerebu: K'jaan siasat titik panas di S'wak
ADS

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedang menyiasat tujuh titik panas yang dikesan di Sarawak oleh imej satelit Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA)-18 Amerika Syarikat semalam.

Menterinya Datuk Seri G Palanivel berkata kerajaan juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang melakukan kebakaran terbuka setelah siasatan terhadap kesemua kawasan titik panas itu dijalankan.

Menurut Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang disiarkan dalam laman web http://apims.doe.gov.my/ setakat pukul 6 petang tadi, kawasan Sibu, Sarawak mencatat bacaan tidak sihat iaitu 135 IPU.

Bacaan IPU di Sri Aman dan Samarahan pula masing-masing 99 dan 92, masih dalam kategori sederhana namun menghampiri paras tidak sihat.

Palanivel berkata NOAA-18 juga menunjukkan terdapat 98 titik panas dikesan di Sumatera manakala 52 lagi di Kalimantan, Indonesia.

"Laporan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) menunjukkan pergerakan asap jerebu dari kawasan kebakaran di Wilayah Sumatera dan Kalimantan Barat di Indonesia ke bahagian selatan Sarawak," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

IPU pada tahap antara 0-50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 300).

- Bernama

Lihat Komen