malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda akui PAS berdepan krisis meruncing
Diterbitkan:  Jul 30, 2014 1:33 PM
Dikemaskini: 1:35 PM
ADS

Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat mengakui bahawa parti itu kini berhadapan dengan "krisis yang meruncing" dengan melihat kepada jurang yang semakin melebar dengan rakan kongsi lain dalam Pakatan Rakyat.

Oleh itu, barisan pemimpin tertinggi PAS perlu bermesyuarat secepat mungkin sebelum 10 Ogos ini untuk menangani perkembangan terkini dalam parti itu, katanya.

Menurutnya, tarikh 10 Ogos untuk jawatankuasa PAS Pusat bermesyuarat adalah "terlalu lewat untuk menguruskan krisis yang berlaku".

"PAS tidak boleh berselindung dan berada dalam sindrom penafian. Hakikatnya PAS berada dalam keadaan krisis yang meruncing sekarang," katanya dalam satu kenyataan.

"Rakyat Malaysia sedang memerhatikan PAS menguruskan masalah dalamannya.

"Saya yakin dengan kebijaksanaan kepimpinan PAS mampu mendepani masalah yang sedang berlaku," katanya lagi.

Mesyuarat pada 10 Ogos ini bertujuan membincangkan rancangan untuk menggantikan menteri besar Selangor - satu langkah yang dibantah oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan sayap ulama parti itu.

Hadi dan Dewan Ulama PAS menyokong agar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar.

Sokongan Hadi dan Dewan Ulama PAS itu mengejutkan PKR yang mendakwa ia membelakangi keputusan majlis pimpinan Pakatan Rakyat.

PKR mendakwa PAS menerusi enam orang pemimpin kanannya dalam satu mesyuarat majlis pimpinan Pakatan telah bersetuju untuk menggantikan Khalid.

Enam orang pemimpin kanan itu adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa; Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali; anggota jawatankuasa PAS Pusat Dr Hatta Ramli dan Suhaizan sendiri.

Malangnya, keadaan tersebut diburukkan lagi apabila satu komunikasi WhatsApp di kalangan AJK PAS Pusat dibocorkan di Internet.

Dalam mesej itu, AJK PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki membentangkan 'analisis senario' tentang kemungkinan PAS keluar dari Pakatan Rakyat Selangor.

Senario itu akan membolehkan terbentuknya kerajaan perpaduan di antara PAS dengan Umno bersama Khalid sebagai menteri besar serta wakil rakyat PKR yang menyokong Khalid.

Lihat Komen