malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu MB: TPM bimbang jejas rundingan struktur air
Diterbitkan:  Jul 29, 2014 7:18 PM
Dikemaskini: 11:19 AM
ADS

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melahirkan kebimbangan isu penukaran Menteri Besar Selangor akan menjejaskan rundingan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di negeri itu yang kini sudah di peringkat akhir.

    

Beliau berkata jika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditukar, persoalan besar yang timbul ialah sama ada rundingan itu akan diteruskan atau dibatalkan.

    

Jika dibatalkan, katanya, ia bukan sahaja menjejaskan bekalan air kepada rakyat Selangor malah penduduk di kawasan Lembah Klang.

    

"Soal yang boleh timbul, yang rakyat selangor harus tanya, kalau berlaku perubahan Menteri Besar, (adakah) kontrak yang telah dipersetujui ini terbatal ataupun tidak diteruskan, langkah-langkah untuk mengambil alih konsesi yang telah dirunding oleh kerajaan Selangor yang sedia ada ini juga terbatal?," katanya.

    

Muhyiddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Khas Mengenai Isu Air Selangor, berkata demikian kepada pemberita semasa Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Media di kediamannya di Muar hari ini.

Beliau berkata kerajaan pusat sedang memerhati keadaan di Selangor dengan api kerana semua pihak, khususnya rakyat, mahu politik di negeri itu stabil dan kerajaan pusat juga tidak mahu pelaksanaan projek Empangan Langat 2 terganggu.

    

Muhyiddin juga berharap hubungan baik yang dijalin Abdul Khalid dengan kerajaan pusat dapat diteruskan.

    

Selain itu, beliau berkata isu berkenaan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat berkaitan hala tuju kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

    

"Apa akan jadi lepas ni? Khalid disokong oleh PAS tetapi tak disokong oleh pemimpin parti dia sendiri.

    

"Apakah (jawatan) MB Selangor itu hak milik PKR sahaja ataupun ia diputuskan atas muafakat Pakatan Rakyat?" soal beliau.

    

-Bernama

 

Lihat Komen