malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khairy: NGO agih makanan tak kotorkan KL
Diterbitkan:  Jul 4, 2014 3:44 PM
Dikemaskini: 12:51 PM
ADS

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kegiatan memberi makan kepada golongan miskin tidak menyebabkan kawasan bandar Kuala Lumpur menjadi kotor.

Khairy berkata, beliau pernah melihat sendiri operasi satu NGO, PERTIWI yang sentiasa menjaga kebersihan ketika memberi makanan kepada golongan itu.

Amalan itu juga ditunjukkan oleh Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda Umno, katanya dalam tulisan di Facebook.

"NGO ibu dan ibu saudara saya, PERTIWI, sudah lama mengendalikan soup kitchen. Sama juga dengan SHEB Pemuda Umno dan NGO lain.

"Yang pernah saya sendiri melihat, sukarelawan PERTIWI sentiasa menjaga kebersihan kawasan di mana mereka membuat program pemberian makanan," katanya lagi.

Beliau seterusnya berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan membasmi golongan miskin itu dari pandangan umum, tetapi terus bekerjasama untuk membantu usaha NGO berkenaan.

"Harap DBKL memberi kerjasama kepada NGO seperti ini untuk meneruskan kerja amal mereka.

"Tumpuan perlu diberi untuk membasmi kemiskinan. Bukan untuk menghapus orang miskin dari pemandangan orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penjelasan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Tengku Adnan dalam satu laporan Astro Awani semalam mendakwa, kegiatan memberi makan kepada golongan itu menyebabkan kawasan sekitar Kuala Lumpur menjadi kotor.

“Ini kawasan tumpuan pelancongan, saya tidak mahu kawasan ini jadi kotor, banyak tikus, ada surat khabar luar negara labelkan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Tikus,” katanya lagi.

Dalam kenyataannya di Facebook hari ini, Tengku Adnan berkata masalah golongan gelandangan tersebut "menyumbang terhadap masalah kebersihan di Kuala Lumpur khususnya lokasi tumpuan pelancong."

"Mereka tidur di tempat yang tidak sesuai di sekitar bandar raya Kuala Lumpur dalam persekitaran yang tidak bersih dan terdedah kepada penyakit berjangkit," katanya.