malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kanak-kanak maut dikelar bapa saudara
Diterbitkan:  Jul 1, 2014 2:50 PM
Dikemaskini: 6:52 AM
ADS

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun mati selepas lehernya dikelar bapa saudaranya dengan parang di restoran milik ibu mangsa di Kampung Gambaron dekat Telupid semalam.

    

Ketua Polis Daerah Beluran, Supt V Sivanathan berkata lelaki berusia 23 tahun itu yang dipercayai sakit mental menggunakan parang memotong daging untuk mengelar leher Mohamad Khairul Aize Abdullah.

    

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang.

    

Beliau berkata suspek yang merupakan adik kepada bapa mangsa telah memanggil mangsa yang sedang bermain di dalam restoran itu lalu membawanya ke belakang restoran sebelum mengelar leher mangsa.

"Mangsa yang cedera parah telah menjerit kesakitan yang jeritannya disedari keluarganya. Mereka kemudiannya membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Telupid, namun mangsa tidak dapat diselamatkan, katanya kepada Bernama.

    

Sivanathan berkata suspek yang tidak melarikan diri selepas kejadian telah ditahan oleh anggota keluarga mangsa sebelum dia diserahkan kepada polis.

    

Katanya polis turut menemui sebilah parang yang digunakan untuk mengelar mangsa.

    

Beliau berkata tidak diketahui punca lelaki itu bertindak demikian dan dia kini direman.

    

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian, seorang pemilik kedai runcit cedera di kepala selepas dipukul dengan kayu oleh dua lelaki yang cuba merompaknya di Kampung Petoh Lama dekat Rompin awal pagi tadi.

    

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya berkata, dalam kejadian pukul 2.40 pagi itu mangsa, 69, bersama isterinya, 55, sedang nyenyak tidur di dalam sebuah bilik belakang kedai runcitnya itu.

    

"Mangsa yang terkejut apabila terdengar bunyi bising di belakang kedainya itu bingkas bangun untuk membuat pemeriksaan. Namun belum sempat berbuat apa-apa, mangsa terus diserang dan kepalanya diketuk dengan sebatang kayu sehingga cedera," katanya kepada pemberita hari ini.

    

Beliau berkata, suspek kemudian mengugut mangsa supaya menyerahkan wang jika tidak mahu dicederakan lebih teruk.

    

Bagaimanapun, kedua-dua perompak itu dipercayai warga asing berusia lingkungan 20-an dan menutup separuh muka dengan kain melarikan diri tanpa sebarang hasil rompakan setelah mendengar ketibaan anak lelaki dan menantu mangsa yang tinggal berhampiran, katanya.

    

Warga emas itu menerima beberapa jahitan di kepalanya dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Muadzam Shah.

    

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

    

Sementara itu, di Miri, polis yakin dapat menyelesaikan kes pembunuhan seorang pemandu van warganegara Indonesia dengan tertangkap seorang suspek juga warga Indonesia dipercayai anggota Geng Tono malam tadi.

    

Ketua Polis Miri ACP Gan Tian Kee berkata, suspek lelaki berbangsa Bugis berusia 32 tahun itu ditangkap pada pukul 11.15 malam tadi di Batu Niah Food Court.

    

"Suspek berkerja di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran," katanya kepada Bernama hari ini.

    

Gan berkata, suspek dan enam rakan lain dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan rakan senegara pada 26 Jun lalu.

    

"Ketua geng yang hanya dikenali sebagai Tono kini sedang diburu bersama-sama  dengan anggota kumpulan lain,"katanya.

    

Dalam kejadian pada 26 Jun lalu, pemandu van itu yang hanya dikenali dengan nama Anuar meninggal dunia kerana cedera parah selepas terlibat dalam pergaduhan.

    

Mangsa dijumpai oleh rakannya di sebuah pondok di tepi jalan Km66.8 Miri-Bintulu dalam keadaan terbaring berlumuran darah dengan luka di kiri pinggang  dipercayai ditikam, lebam kedua-dua belah mata dan dahi serta berlaku pendarahan hidung.

    

Dalam perkembangan lain, Gan berkata, polis Miri telah berjaya menyelesaikan dua kes samun dan cubaan merogol termasuk melibatkan seorang guru wanita pada 16 Jun lalu berikutan pendakwaan ke atas suspek utama kes tersebut Aspin Amut seorang lelaki rakyat tempatan berusia 20-an.

    

Beliau berkata, Aspin didakwa atas pertuduhan merompak dan mencabul di Mahkamah Sesyen Miri petang semalam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!