malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kuasa eksekutif dipegang MB, kata Khaled
Diterbitkan:  Jun 6, 2014 11:21 PM
Dikemaskini: 3:28 PM
ADS

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menegaskan penglibatan Sultan Johor Sultan Ibrahim dalam Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor yang akan ditubuhkan kerajaan negeri bukan menjadi satu isu kerana kuasa eksekutif dipegang menteri besar.

    

Mohamed Khaled berkata menteri besar adalah pengerusi secara automatik dan apa-apa tindakan Sultan Johor adalah atas nasihat menteri besar.

    

"Apa pun keputusan yang dibuat mengenai pentadbiran negeri ini masih dibuat oleh saya kerana kuasa eksekutif adalah di bawah Menteri Besar.

  

"Menteri Besar akan menjadi pengerusi lembaga manakala pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai timbalan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pelan Induk Pelancongan Johor dan pameran 'Explore Johor Fest' 2014, di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di Kulaijaya hari ini.

    

Menurut laporan sebuah portal berita, kerajaan Johor akan membentangkan satu rang undang-undang baharu di Dewan Undangan Negeri Johor, Isnin ini untuk membentuk satu lembaga perumahan dan hartanah yang memberi kuasa meluas kepada Sultan tentang isu perumahan.

   

Tambah portal tersebut, ia merupakan enakmen pertama seumpamanya yang akan dibentangkan dengan Sultan Johor diberi kuasa untuk melantik ahli lembaga, menyelia akaun dan juga untuk membubar lembaga berkenaan.

    

Menurut beliau, penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor adalah sama seperti penubuhan Johor Corporation (JCorp) yang secara automatik peranan pengerusi dipegang oleh menteri besar.

    

Katanya, usaha untuk menubuhkan lembaga itu juga bukan sesuatu yang baru kerana sebelum ini pendekatan yang sama digunakan untuk menubuhkan JCorp atau yang sebelum itu dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor

(PKENJ).

    

"Kita mengikut enakmen sama seperti penubuhan Johor Corporation (JCorp) dahulu dan akta ini mesti dibaca bersama-sama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor," katanya.

- Bernama