Ratusan pekerja KTM demo dalam hujan

Farah Noor Samat
(Dikemaskini )

Walaupun hujan lebat dan dentuman guruh, kira-kira 700 anggota Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) tidak berganjak dari bangunan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhimpun untuk mendesak Datuk Elias Kadir melepaskan  jawatan sebagai presiden KTMB.

Presiden KPPKTMB Abdul Razak Md Hassan yang mengetuai kumpulan itu mendakwa Elias Kadir tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang perkhidmatan beliau selama dua tahun ini.

"Demonstrasi hari ini menyampaikan rasa tak puas hati dengan Datuk Elias Kadir yang telah menjawat jawatan presiden selama 2 tahun, beliau tidak melaksanakan tugas dengan berkesan.

"Tanggungjawab Elias Kadir cari cara naikkan pendapatan (KTMB), kalau dia gagal tambah pendapatan dia boleh berambus!

"Cukup dua tahun cukup lama. Kita kecewa kerana dia tak mampu cetuskan idea," katanya ketika perhimpunan berlangsung petang tadi.

Ketika ditanya media mengenai tindakan selanjutnya sekiranya demonstrasi ini tidak berjaya, Abdul Razak berkata pihaknya merancang untuk mengadakan satu lagi perhimpunan di Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Demonstrasi bermula jam 5 petang tadi berlangsung apabila semua penyokong dari sepuluh cawangan kesatuan seluruh negeri berhimpun di Hotel Heritage sebelum berarak ke  depan bangunan KTMB - berdekatan Masjid Negara.

Penyokong yang hadir melaungkan Hidup! Hidup! Hidup! Tolak Elias Kadir!. Ada juga yang meniupkan wisel berselang-seli dengan laungan tersebut.

Ditambah pula paluan gendang dan drum bagi menaikkan semangat semua penyokong dan kelihatan ketika itu mereka turut menyanyikan lagu tema KPPTMB dan "Inilah barisan kita".

Manakala kenderaan yang lalu di jalan itu turut membunyikan hon sebagai tanda sokongan kepada kesatuan pekerja yang berhimpun.

Turut kelihatan polis mengawal lalu lintas dan kawasan perkarangan KTMB bagi menjaga keselamatan sepanjang perhimpunan berlangsung.

T epat jam5.20 petang hujan turun dengan lebat dan petir sabung menyabung namun penyokong masih tidak meninggalkan kawasan hadapan KTMB itu.

Sebaliknya penyokong kelihatan masih bersemangat serta melaung-laungkan kata semangat sambil menari dalam hujan yang semakin lebat mengikut paluan gendang sehingga perhimpunan berakhir jam 7.00 malam.

Share