malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kesatuan sekerja anjur satu lagi demo 1 Mei
ADS

Selain perhimpunan besar membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Kuala Lumpur yang disokong pembangkang, satu lagi perhimpunan membawakan isu sama dianjurkan kesatuan sekerja pada tarikh sama.

Bagaimanapun, perhimpunan sempena hari buruh anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) itu akan diadakan di Petaling Jaya, terpisah dari lokasi perhimpunan kumpulan NGO dan Pakatan Rakyat.

Pengerusi sambutan 1 Mei MTUC Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, selain isu GST, perhimpunan mereka akan turut membangkitkan isu gaji minimum dan kenaikan kos kehidupan.

''Tahun ini kita menghadapi isu seperti kegagalan pelaksanaan akta gaji minimum, GST, Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA) dan harga barang melonjak ke tahap tidak dapat dibayang, yang langsung tak beri kebaikan kepada pekerja.

Himpunan dinamakan “100,000 May Day” itu dijadualkan di Dataran Timur Petaling Jaya dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurut Abdullah yang juga timbalan presiden MTUC, kerajaan negeri Selangor, polis dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya telah pun bersetuju bekerjasama dan memberi permit himpunan ini diadakan.

"Kita turut menjemput menteri kerja raya dan menteri besar Selangor untuk hadir bersama," kata beliau.

Abdullah Sani berkata MTUC turut ingin menunjukkan bantahan terhadap TPPA yang dibantah kongres yang mempunyai lebih 600,000 ahli aktif itu.

Menurut beliau walaupun dinamakan sebagai perjanjian, tiada butiran jelas diberikan kepada pekerja yang bakal menjadi kelompok paling ramai terkesan dengan sebarang keputusan yang dibuat kerajaan.

"MTUC tidak akan setuju selagi perincian tiada kerana ia akan membebankan pekerja," kata beliau.

Ketika ditanya sama ada MTUC akan sama mengikut Himpunan 1 Mei yang dijadualkan di Kuala Lumpur pada sebelah petangnya, Abdullah Sani yang juga MP Kuala Langat itu berkata ia terpulang kepada persatuan dan individu sendiri.

Beliau berkata sesiapa boleh sama mengikut himpunan di Kuala Lumpur kerana ia bukan di bawah MTUC.

"MTUC hanya ambil pendekatan (himpunan) di Padang Timur sahaja, selebihnya terpulang kepada persatuan dan ahli lain untuk ambil tindakan sendiri," kata beliau kepada Malaysiakini .

Sementara itu Pengerusi Belia MTUC Mohd Faisal Abu Bakar berkata satu acara konvoi berkereta dari Shah Alam ke Kuala Lumpur akan dibuat sebagai promosi kepada himpunan ini.

Beliau berkata konvoi itu akan berkumpul di Dataran Shah Alam sebelum bergerak ke kawasan tumpuan Kuala Lumpur seperti Brickfields dan KL Sentral serta beberapa tempat lain bagi mempromosikan himpunan 1 Mei MTUC.

"Setakat ini 46 kereta sah mengambil bahagian dan kita akan promosikan kepada orang ramai dari golongan pekerja," kata beliau.