malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKR: Penafian geran RM100j tambah keliru
Diterbitkan:  Apr 24, 2014 4:36 PM
Dikemaskini: 10:10 AM
ADS

PKR mendakwa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Abu Bakar Mohamad Diah cuba membuat silap mata melalui penafian pemberian geran kontroversi kepada sebuah syarikat swasta.

Parti itu mendakwa, penafian Abu Bakar, termasuk tindakannya mengedarkan senarai lebih 4,000 penerima geran penyelidikan (R&D) MOSTI, hanya menambahkan kekeliruan.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli ( kiri ) juga mempertikaikan pengedaran maklumat penerima geran bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (antara 2006-2010) sedangkan kelulusan kepada syarikat itu dibuat pada Januari 2014.

“Sudah tentulah kelulusan geran RM100 juta yang diberikan kepada NSE Resources Corporation Sdn Bhd ini, yang baru sahaja diluluskan awal tahun ini, tidak tersenarai di dalam senarai penerima geran bagi tempoh 2006 hingga 2010!

“Saya tidak pasti sama ada timbalan menteri itu benar-benar terlepas pandang mengenai perkara ini atau beliau ingin cepat-cepat menutup perkara ini dengan menampilkan senarai penerima bagi tempoh berlainan untuk mengelirukan rakyat,” katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Rafizi berkata, penafian itu juga bertentangan dengan maklumat yang dipaparkan dalam laman web syarikat itu sendiri ( kanan ).

“Kenyataan beliau semalam menimbulkan lebih banyak keraguan dan menunjukkan seolah-olah beliau ingin menyembunyikan sesuatu mengenai perkara ini,” katanya.

Rafizi sebelum ini mendakwa terdapat penyalahgunaan dana awam melalui pemberian geran R&D kepada projek komersial.

Dalam kes NSE, PKR juga mengaitkannya dengan 'arahan' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Malaysiakini sudah beberapa kali menghubungi syarikat berkenaan dan masih menunggu jawapannya.