malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penghormatan terakhir bermula 8.30 pagi esok
Diterbitkan:  Apr 19, 2014 3:12 PM
Dikemaskini: 6:20 PM
ADS

Orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Karpal Singh di Dewan Seri Pinang di George Town esok dinasihatkan datang awal.

    

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang mengetuai jawatankuasa pengebumian negeri bagi Karpal, berkata mereka boleh berbuat demikian dari jam 8.30 hingga 10.15 pagi.

    

"Kami anjakkan sedikit waktu daripada jam 9 pagi yang diputuskan

semalam kepada jam 8.30 pagi agar orang awam mempunyai masa yang cukup untuk berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas memantau persiapan majlis penghormatan negeri kepada mendiang Karpal Singh, di Dewan Seri Pinang hari ini.

    

Beliau berkata dianggar 2,000 hingga 3,000 orang akan menghadiri upacara itu.

    

Karpal Singh, 74, maut dalam nahas jalan raya di Km 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung, Kampar pada awal pagi Khamis.

    

Kemalangan pada jam 1.10 pagi itu turut meragut nyawa pembantu peribadinya Michael Cornelius, 39.

    

Chow turut meminta badan bukan kerajaan, persatuan, badan keagamaan dan parti politik yang ingin memberi penghormatan terakhir agar mendaftar terlebih dahulu antara jam 8.30 dan 9.30 pagi.   

Sesi untuk mereka akan bermula 10.15 pagi, katanya.

    

Beliau juga berkata 1,000 penunggang basikal akan turut menyertai perarakan jasad mendiang esok.

    

Semalam, Chow mengumumkan perarakan jasad mendiang akan melakukan tiga 'persinggahan bermakna' dalam perjalanan dari Dewan Sri Pinang ke Krematorium Batu Gantung.

    

Persinggahan itu ialah di Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang (tempat Karpal Singh bertugas sebagai peguam), Dewan Bangunan Undangan Negeri Pulau Pinang (lokasi kerjaya politik beliau) dan sekolah lama  Karpal St Xavier's Institution.

    

Perarakan dijadualkan bermula jam 11.30 pagi dan akan tiba di krematorium pada 1 tengah hari.

- Bernama