malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Utus surat pada PM, Uthaya bimbang keselamatannya di penjara
ADS

Pemimpin gerakan Hindraf, P Uthayakumar mendakwa beliau dikurung selama 14 hari di dalam 'bilik gelap' dan kini risau akan keselamatan nyawanya di Penjara Kajang.

Ini terkandungan dalam suratnya  kepada perdana menteri dan menteri dalam negeri yang bertarikh hari ini.

Salinan surat itu diedarkan kepada wartawan dalam satu sidang media pagi ini oleh isteri Uthayakumar, Indra Devi Subramaniam.

Menurut Indra, beliau akan menghantar surat yang mengandungi tandatangan Uthayakumar itu melalui faks kepada perdana menteri dan menteri dalam negeri hari ini.

Indra kemudiannya membuat laporan di balai polis Jalan Travers pada jam 2 petang ini terhadap ketua pengarah penjara.

Dalam surat tersebut, Uthayakumar berkata, dia mula dikurung dalam bilik gelap mulai 16 April lalu selepas dia membuat aduan tentang 17 kes pegawai dan warder penjara didakwa memukul banduan, menampar mereka dengan selipar dan menyeksa mereka.

Aduan mengenai dakwaan perbuatan tersebut yang melanggar Peraturan 55 dan 56 Akta Penjara 1995 kini dicatatkan dalam buku catatan penjara.

Uthayakumar mendakwa, pada 13 April lalu, seorang lagi banduan yang dikenali sebagai 'Vijay'  memberitahunya mendakwa yang dia diarahkan pegawai penjara untuk memukul dan mencederakan Uthayakumar.

Sebagai ganjarannya, dakkwa Uthayakumar, banduan tersebut akan 'dijaga' oleh warder penjara.

Namun dakwanya, banduan berkenaan yang merupakan seorang penyokong Hindraf tidak sampai hati untuk berbuat demikian dan memaklumkan kepadanya mengenai rancangan itu.

Perkara itu , katanya, kemudiannya dilaporkan kepada seorang inspektor penjara tetapi mendakwa tiada tindakan yang diambil.

Sebaliknya, Uthayakumar mendakwa yang dia diberitahu bahawa pada hari esoknya, Vijay  dikeluarkan dari blok yang sama dengannya dan dipindahkan ke blok sakit dan diberikan rawatan psikiatrik.

"Saya sendiri sejak 16 April dilokap selama 14 hari dalam satu sel yang tertutup penuh melainkan satu lubang pengudaraan kecil - tidak boleh membaca atau bahan untuk menulis, tuala dan hanya tidur di atas lantai simen," katanya dalam surat beliau kepada perdana menteri dan menteri dalam negeri, bertarikh hari ini.

Sementara itu, Indra berkata, kejadian yang terkandung di dalam surat itu diceritakan Uthaya kepada Ketua Pemuda Human Rights Party, J Vasanthakumaran yang melawatnya di Penjara Kajang pada hari Khamis lalu.

Menurutnya, beliau menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila tidak menerima sebarang panggilan dari suaminya itu minggu ini kerana pada kebiasaanya Uthayakumar akan menelefonnya atau mana-mana ahli keluarga pada setiap hari Rabu.

"Ia buat saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dan panggilan saya ke penjara sebanyak tiga kali tiada respons," katanya.

Katanya, dia kini sudah tidak larat lagi hendak menangis dan tidak tahu atas kesalahan apa suaminya itu disumbat ke dalam 'bilik gelap'.

Bilik gelap adalah bilik yang tiada cahaya dan banduan yang diletakkan di situ adalah mereka yang didakwa gagal bergaul dengan banduan lain dan bersikap kasar terhadap pegawai penjara.

Dakwaan sama pernah dibuat Uthayakumar pada tahun lalu namun ia dinafikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafr di Parlimen.

Wan Junaidi berkata Jabatan Penjara Malaysia tidak pernah mempunyai 'bilik gelap' dan hanya melakukan penjara berasingan (solitary confinement) ke atas banduan yang ingkar perintah pegawai penjara.

Indra kini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar menyiasat dakwaan tersebut.

"Jika pihak berkuasa rasa saya berbohong, pergilah siasat apa yang berlaku kepada Kumar (Uthayakumar).

"Saya gesa perdana menteri meneliti perkara ini dan melayan Kumar sebagai banduan politik," katanya.

Uthayakumar kini menjalani hukuman penjara selama 30 bulan bermula Jun tahun lalu selepas beliau didapati bersalah di bawah Akta Hasutan.