malaysiakini logo
story-image
ADS

Sekumpulan aktivis mahasiswa berhimpun di depan pintu masuk Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah petang ini sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri berlangsung bagi menuntut kerajaan negeri Selangor memulakan pendidikan percuma.

Bagaimanapun, kira-kira 20 orang yang menggelarkan diri sebagai Bebas 2.0 tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan yang menutup semua pintu masuk ke kawasan bangunan itu.

Ia sekaligus menggagalkan usaha kumpulan itu untuk menyerahkan memorandum mengandungi tuntutan tersebut kepada menteri besar.

Jurucakap kumpulan itu, Abdul Muqif Muhammad, 23, mahasiswa Universiti Malaya kecewa apabila tidak dibenarkan masuk berjumpa Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Hari ini, kami berada di sini untuk menyampaikan memorandum ini ke tangan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri, namun kami dihalang untuk masuk ke kawasan bangunan.

"Kami tidak diberikan sebarang sebab mengapa kami dihalang daripada masuk.

"Kami kecewa dengan tindakan kerajaan Pakatan Rakyat ini, yang sebelum ini begitu lantang menyuarakan isu kebebasan akademik dan juga pendidikan percuma ini," katanya kepada pemberita.

Abdul Muqif berkata memorandum itu pada asalnya dihantar untuk mendesak kerajaan negeri Selangor memulakan pelaksanaan kebebasan akademik dan juga pendidikan percuma dengan menjadikan Universiti Selangor (Unisel) sebagai perintis.

Bagaimanapun, memorandum itu gagal diserahkan kepada menteri besar dan tidak diterima mana-mana pegawai dari pejabat menteri besar.