malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DUN PP rakam simpati pada keluarga Karpal
ADS

Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini merakamkan rasa simpati kepada keluarga anggota Parlimen Bukit Gelugor yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya awal pagi ini.

Speker DUN Pulau Pinang Law Choo Kiang berkata mendiang merupakan seorang tokoh politik yang telah berjuang untuk demokrasi di Malaysia dan kehilangannya pasti dirasai semua pihak.

    

"Mendiang pernah menjadi anggota DUN Pulau Pinang sekitar tahun 70-an dan saya percaya sumbangannya dalam arena politik akan diingati sampai bila-bila," katanya kepada Bernama hari ini.

    

Karpal Singh, 74, yang juga bekas pengerusi kebangsaan DAP dan pembantunya Michael Cornelius terbunuh selepas MPV Toyota Alphard yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Km306.1 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Gua Tempurong di Kampar, Perak.

    

Kepimpinan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang turut melahirkan rasa simpati dan sedih atas kehilangan Karpal Singh yang mendapat jolokan 'Tiger of Jelutong'.

Pengerusi DAP Negeri Chow Kon Yeow berkata mendiang seorang yang dihormati kawan dan lawan berikutan sumbangannya terhadap keutuhan undang-undang dan perlembagaan Malaysia.

    

"Kehilangannya pasti akan memberi kesan kepada DAP dan rakyat Malaysia, kami masih bersedih dan berharap keluarganya tabah menghadapi situasi ini," katanya.

    

Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman berkata berita kematian Karpal Singh amat mengejutkan dan ia satu kehilangan besar bukan sahaja kepada pakatan rakyat tetapi juga kepada bidang perundangan dan politik negara.

    

"Bagi pihak PKR Pulau Pinang, saya ingin menyampaikan takziah kepada keluarga beliau," katanya.

    

Sementara itu DAP mengarahkan semua cawangannya menaikkan bendera parti separuh tiang sebagai menghormati pemergian Karpal Singh.

    

Sementara itu, semua mesyuarat agung tahunan (AGM) DAP yang dijadualkan mulai esok hingga Ahad, ditunda kepada satu tarikh yang akan diberitahu kelak, menurut kenyataan parti itu.

- Bernama