malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khalid: Penasihat ekonomi tak pengaruhi keputusan
ADS

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa pejabat penasihat ekonomi Selangor tidak mempengaruhinya dalam membuat keputusan melibatkan pentadbiran kerajaan negeri.

 

Menurutnya, selaku ketua eksekutif di Selangor, beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang keputusan walaupun menerima nasihat dari penasihat ekonomi.

 

Perkara yang sama, kata Khalid dilakukan oleh perdana menteri yang membuat keputusan sendiri walaupun turut dinasihati oleh panel penasihatnya.

 

"Dari masa ke semasa, kita adakan perbincangan dan perbincangan (seperti) ini turut dilakukan oleh PM dengan penasihatnya.
"Tak semestinya, keputusan yang dibuat oleh penasihat PM akan diikuti oleh PM.

 

"Saya boleh jadi terperanjat jika PM kata keputusan yang dibuatnya dilakukan bersama dengan penasihatnya.

 

"Namun, lebih baik kita sentiasa berbincang dan selepas itu keputusan dan tanggungjawab untuk melaksanakannya terletak di tangan eksekutif.

 

"Saya tak boleh katakan keputusan itu dibuat oleh penasihat saya," katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pagi tadi.

 

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil) yang mahu tahu peranan penasihat ekonomi negeri Selangor.

 

Jelas Khalid lagi, pejabat penasihat ekonomi dilengkapi tiga orang kakitangan terdiri daripada ketua staf, eksekutif komunikasi dan juga pembantu peribadi.

 

Perbelanjaan gaji kasar untuk menggaji ketiga-tiga kakitangan pula adalah  sebanyak RM25,350 sebulan, kata Khalid lagi.

 

Manakala, perbelanjaan operasi daripada kerajaan negeri adalah sebanyak kira-kira RM150,000 setahun, katanya lagi.

 

Bagi tempoh di antara tahun 2010 sehingga 2013, jumlah perbelanjaan operasi pejabat itu adalah kira-kira sebanyak RM433,000 katanya.